Jordi Amat disebut-sebut ke Liga 1, fans Singapura ramal Safuwan isi kekosongan slot Asean JDT 


  • Podium
  • Sabtu, 19 Apr 2025

Pemilik JDT iaitu Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail pernah memuji Safuwan sebagai pemain terbaik sebelum ini.

SAINGAN Liga Super 2024/2025 yang berakhir pada hujung minggu ini sudah dipenuhi dengan khabar angin perpindahan pemain dengan beberapa nama besar rancak disebut bakal berhijrah.

Antara nama sudah dikaitkan akan meninggalkan kelab mereka ialah bek tengah berpengalaman, Safuwan Baharudin yang dilaporkan sedia mengucapkan selamat tinggal kepada Selangor FC selepas hampir lima tahun bersama. 

Baru-baru ini, pertahanan kental kelahiran Singapura itu memberi petunjuk berkemungkinan besar akan meninggalkan pasukan apabila kontraknya bersama Gergasi Merah bakal tamat hujung Mei ini.

BACA LAGI: 'Kita tunggu dan lihat', Bali United jawab khabar angin Jordi Amat tinggalkan JDT

BACA LAGI: Khidmat tak lagi diperlukan, 3 import Gred A termasuk Jordi Amat mungkin dilepaskan JDT

Bayangan itu hadir menerusi satu hantaran di Insta Story miliknya yang memperlihatkan dia menarik keluar nombor jersi yang berserta namanya dengan berlatarbelakangan warna gelap, satu isyarat jelas mencetuskan tanda tanya dalam kalangan penyokong.

Lebih mencuri perhatian apabila pemain kebangsaan Singapura berusia 33 tahun itu turut menggunakan lagu latar berjudul See You Again, yang seolah-olah memberi petunjuk kepada perpisahan.

Safuwan merupakan antara tonggak utama skuad kendalian Katsuhito Kinoshi musim ini dengan dia beraksi cemerlang di benteng pertahanan dengan 29 penampilan, empat gol dan tiga bantuan jaringan.

Sumbangan Safuwan juga menjadi antara faktor kejayaan Gergasi Merah menjuarai Piala Cabaran serta muncul naib juara Piala FA musim 2024/2025. 

Tangkap layar Insta Story Safuwan.

Dengan rekod prestasi yang konsisten dan pengalaman luas di peringkat antarabangsa, Safuwan tidak berdepan masalah untuk menarik minat kelab lain, baik dalam mahupun luar negara.

Oleh itu, salah seorang penyokong Singapura iaitu Ayhan RMCF menduga bahawa Safuwan kebarangkalian boleh berhijrah ke Johor Darul Ta'zim (JDT) lagi-lagi selepas Jordi Amat dikhabarkan akan meninggalkan Harimau Selatan. 

"Dengan Jordi Amat ada kemungkinan akan meninggalkan JDT, ada peluang untuk menyaksikan dia (Safuwan) menggantikan kuota Asean di JDT?," katanya pada laman X.

Persib dan Bali United juga dikhabarkan mahu menyambar Amat. — Facebook/JDT

Baru-baru ini nama bek tengah warisan Indonesia itu banyak dikaitkan dengan kelab Liga 1 Indonesia susulan kontraknya bersama Harimau Selatan juga akan berakhir pada penghujung Mei ini. 

Bali United dan Persib Bandung menjadi kelab teratas dikhabarkan memantau untuk merekrut bek tengah berusia 33 tahun itu. Meskipun jarang mendapat tempat dalam JDT, kualiti Amat tidak boleh dinafikan masih relevan untuk menjadi bek utama. 

Amat pula sudah menikmati pelbagai kemenangan bersama JDT sejak pemain warisan Indonesia-Sepanyol itu tiba pada 2022. Musim ini, Amat merekodkan 25 aksi bersama JDT termasuk 15 perlawanan Liga Super dan empat aksi Liga Juara-Juara Asia Elit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram