Satu tajaan saja tak cukup, Kedah perlukan inisiatif tambahan


  • Podium
  • Jumaat, 18 Apr 2025

Foto yang dimuat naik Irshad bersama pemilik saham terbesar KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar di Facebook. — Fcaebook/Mohd Irshad Shafiq

SELEPAS satu musim yang mencabar, Kedah Darul Aman (KDA) FC akhirnya mendapat sinar baharu apabila dikhabarkan akan mendapat penaja dengan ia dijangka mampu menyelamatkan masa depan kelab.

Menerusi perkongsian Bieziy Production yang juga duta KDA FC, Mohd Irshad Shafiq memberi harapan baharu dan semangat kepada penyokong setia Sang Kenari apabila dia memuat naik foto pemilik saham terbesar KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar dengan individu tidak dikenali. 

BACA LAGI: Tak bertanding Piala Presiden, Kedah, Pahang, Perak, KDN hint tarik diri Liga Super 2025 

BACA LAGI: [VIDEO] Kedah perlu selesai tunggakan gaji sebelum 30 April

"Alhamdulillah selesai perbincangan bersama Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar bersama bakal penaja Kedah Darul Aman FC untuk musim hadapan.

"Insya-ALLAH kami akan buat terbaik untuk KDA FC musim depan, sama-sama kita doakan semoga dipermudahkan segala urusan. Amin. Kita akan kembalikan zaman kegemilangan Kedah Darul Aman FC seperti dahulu," katanya.

Hantaran tersebut segera menarik perhatian peminat dengan mereka melihatnya sebagai petanda awal akan kehadiran suntikan dana baharu, sekali gus memberi nafas baharu kepada kelab yang sebelum ini bergelut dengan isu kewangan dan pengurusan.

Bagi pemerhati bola sepak tempatan, Afiq Rowley, dia tidak menafikan bahawa ia merupakan inisitif bagus untuk membantu Kedah namun pada masa sama, pengurusan Sang Kenari tidak boleh terlalu bergantung kepada satu tajaan sahaja. 

Hal ini kerana, satu tajaan daripada satu entiti tidak mampu memberi jaminan untuk pasukan berpangkalan di Utara tanah air berkenaan untuk kekal 'bernyawa' lagi-lagi bagi menjaga kebajikan pemain serta kakitangan. 

"Saya tak pasti berkenaan tajaan akan datang, tetapi ia merupakan sebuah inisiatif bagus untuk memulihkan kembali serba sedikit masalah dihadapi Sang Kenari musim ini.

"Kedah pastinya memerlukan sokongan lain. Tidak boleh bergantung kepada sebuah tajaan sahaja. Pihak pengurusan perlu efektif mendapatkan seberapa banyak yang mungkin untuk memberi konsistensi kepada dana Kedah sepanjang musim," katanya kepada Majoriti. 

Dalam pada itu, Afiq memberi pesanan bahawa sekiranya perkara ini dipandang ringan, tidak mustahil Kedah hanya akan tinggal nama tanpa kehadiran yang bermakna di pentas Liga Malaysia. 

Tambahnya, kelangsungan pasukan bukan sekadar bergantung kepada semangat juang di padang, tetapi juga kepada kekuatan pengurusan yang cekap dan berwawasan bagi memastikan tiada seorang pemain atau kakitangan menderita kerana gaji. 

Sebahagian pemain Sang Kenari ketika sesi latihan sebelum aksi terakhir Liga Super menentang Terengganu FC pada Ahad.

"Jangan ulangi silap yang sama dan pengurusan perlu terus menerus mendapatkan tajaan atau sebarang sumber kewangan jika mereka ingin menyelamatkan masa depan Sang Kenari.

"Jika tidak, mungkin Kedah hanya pada nama tapi tidak lagi pada jasad mereka di pentas Liga Malaysia," jelasnya. 

Untuk rekod, KDA perlu menyelesaikan tunggakan gaji berjumlah RM7 juta jika ingin kekal dalam Liga Super musim depan dengan pengurusan Sang Kenari diberi tempoh sehingga 30 April ini oleh pengendali liga, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk menyelesaikan tunggakan tersebut. — Majoriti 

    Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram