
PENYERANG Sporting CP, Viktor Gyokeres dilaporkan bakal meninggalkan kelabnya pada musim panas akan datang dengan Arsenal muncul sebagai salah satu destinasi pilihan utama berbanding Manchester United, menurut beberapa laporan di Portugal.
Gyokeres, 26, telah menjadi tumpuan dalam ruangan gosip perpindahan selama berbulan-bulan, selepas mencatatkan rekod cemerlang dengan 80 gol menerusi 89 perlawanan untuk Sporting bagi dua musim terakhir.
Prestasi luar biasanya itu telah mengukuhkan reputasinya sebagai salah seorang penyerang terbaik dalam dunia bola sepak ketika ini.
BACA LAGI: Kobbie Mainoo pilih tinggalkan Man United, tambah derita Amorim
BACA LAGI: Kelab rugi teruk, pemilik Manchester United mahu buang 200 pekerja lagi
Keperluan Arsenal terhadap seorang penyerang prolifik bukanlah perkara baharu, bahkan sebelum krisis kecederaan yang melanda skuad Mikel Arteta ketika ini. Namun, mereka bukan satu-satunya kelab yang berminat untuk mendapatkan khidmat Gyokeres.
Manchester United juga telah lama dikaitkan dengan penyerang tengah lincah itu, terutama selepas bekas jurulatihnya di Sporting, Ruben Amorim, mengambil alih tugas sebagai pengendali Red Devils musim ini.
Walaupun banyak kelab pesaing secara terbuka menunjukkan minat terhadap pemain bernombor sembilan itu, Gyokeres sendiri lebih berahsia mengenai masa depannya.
Namun, akhbar Record di Portugal melaporkan pemain itu telah memberi isyarat keinginannya untuk meninggalkan Sporting pada musim panas, dengan peluang perpindahannya dinilai sebagai sangat tinggi.
Gyokeres menjaringkan 80 gol menerusi 89 perlawanan untuk Sporting bagi dua musim terakhir. — Agensi
Sumber lain dari Portugal, A Bola, turut menguatkan laporan tersebut dengan menambah bahawa Gyokeres bertekad untuk menyertai pasukan yang akan bersaing dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah musim depan.
Ketika ini, Manchester United berada di tangga ke-14 Liga Perdana Inggeris, 13 mata di belakang lima pasukan teratas yang dijangka akan memastikan kelayakan automatik ke pertandingan elit Eropah tersebut. Manakala, Arsenal kini di kedudukan kedua dan masih bersaing dalam peringkat kalah mati kejohanan benua itu tahun ini.
Skuad kendalian Amorim masih mempunyai peluang secara teori untuk melayakkan diri ke Liga Juara-Juara musim depan dengan menjuarai Liga Europa.
Arsenal sedang memburu penyerang prolifik. — Agensi
Namun, United hanya dianggap sebagai pilihan kelima untuk menjulang trofi tersebut, di belakang Lazio, Roma, Lyon dan satu lagi wakil Liga Perdana Inggeris, Tottenham Hotspur.
Dalam perebutan mendapatkan tandatangan Gyokeres, Arsenal mungkin mempunyai sedikit kelebihan. Namun, Red Devils masih boleh meningkatkan daya tarikan mereka sekiranya berjaya menewaskan Arsenal dalam pertembungan Liga Perdana Inggeris pada Ahad ini.
Pertemuan tersebut dijangka menjadi penentu penting bukan sahaja dalam saingan liga, tetapi juga dalam usaha kedua-dua kelab memikat Gyokeres menjelang musim perpindahan akan datang. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram