Seolah tiada hati dan perasaan, fans bengang aksi CSL masih diteruskan lepas penyerang import maut jatuh dari tingkat 11


  • Podium
  • Jumaat, 18 Apr 2025

Boupendza, disahkan meninggal dunia pada usia 28 tahun selepas terjatuh dari tingkat 11 sebuah bangunan di Hangzhou pada Rabu.

KEPUTUSAN Zhejiang FC untuk meneruskan perlawanan Liga Super China beberapa jam selepas kematian tragis penyerang antarabangsa Gabon, Aaron Boupendza mencetuskan kemarahan dan kesedihan dalam kalangan peminat bola sepak di China.

Boupendza disahkan meninggal dunia pada usia 28 tahun selepas terjatuh dari tingkat 11 sebuah bangunan di Hangzhou, China, menurut kenyataan rasmi Persekutuan Bola Sepak Gabon (FEGAFOOT) pada Rabu.

Polis tempatan yang tiba di lokasi kejadian pada pukul 1.14 tengah hari mengesahkan kematiannya dan telah menolak sebarang unsur jenayah selepas menjalankan siasatan menyeluruh, termasuk temu bual dan semakan rakaman video.

BACA LAGI: Jangan tunggu-tunggu, usahawan, jutawan Kelantan ditagih segera selamatkan bola sepak Cik Siti Wan Kembang

BACA LAGI: 'Jeneral' Sabah FC puji Arif Aiman konsisten capai perkara sukar dalam bola sepak

Walaupun insiden menyayat hati itu berlaku, Zhejiang FC tetap meneruskan perlawanan menentang Meizhou Hakka di laman sendiri pada malam yang sama. Keputusan itu menimbulkan reaksi negatif dalam kalangan penyokong.

"Bukankah perlawanan ini patut ditangguhkan?," soal seorang pengguna di Weibo. Semantara itu, pada aplikasi WeChat pula menyaksikan seorang penyokong menyifatkan tindakan itu sebagai amatur.

Perlawanan yang berakhir dengan keputusan 2-2 itu berlangsung dalam suasana suram dengan Zhejiang memperoleh jaringan menerusi Wang Yudong dan Tao Qianglong. Manakala, Xiangxin Wei dan Michael Cheukoua menyempurnakan sepakan penalti untuk pasukan lawan.

Tiada seorang pun pemain import Zhejiang diturunkan, manakala penyokong memberikan penghormatan kepada Boupendza dengan melaungkan namanya, mengangkat jersinya dan menyalakan lampu dari telefon bimbit mereka sebagai tanda berkabung.

Selepas wisel penamat, para pemain dan pegawai Zhejiang menghampiri penyokong sebagai simbol solidariti. Kapten pasukan, Cheng Jin kelihatan sebak dan terpaksa menamatkan temu bual pasca perlawanan lebih awal.

 

 

“Saya minta maaf... bukan saya tidak menghormati anda. Saya tiada apa-apa yang ingin saya katakan,” ujarnya dengan nada penuh emosi.

Ketua jurulatih Zhejiang dari Sepanyol, Raul Caneda Perez turut enggan mengulas mengenai perlawanan.

“Hari ini bukan masa untuk bercakap tentang bola sepak. Bola sepak tidak patut dibincangkan dalam konteks ini," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Dalam satu kenyataan rasmi selepas perlawanan, Zhejiang FC menyatakan bahawa mereka memberi kerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa yang berkaitan untuk menjalankan siasatan dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mendiang.

Sementara itu, Persatuan Bola Sepak China (CFA) turut mengeluarkan kenyataan pada Khamis dengan menyifatkan pemergian bekas pemain Liga Bola Sepak Utama  Amerika Syarikat (MLS) sebagai satu kehilangan besar.

“Kami amat sedih dengan pemergiannya dan mengucapkan takziah tulus ikhlas kepada keluarga serta rakan-rakannya,” kata CFA sambil menekankan komitmen mereka untuk memberi lebih perhatian terhadap kesihatan fizikal dan mental pemain bola sepak profesional, termasuk pemain import.

Seorang peminat memegang jersi Boupendza. — AFP 

Persatuan Bola Sepak Gabon menyifatkan Boupendza sebagai seorang penyerang hebat, manakala Presiden Gabon yang bakal dilantik iaitu Brice Oligui Nguema, turut menyampaikan ucapan takziah melalui platform X.

“Dengan kesedihan yang amat mendalam saya menerima berita kematian tragis Aaron Boupendza, seorang penyerang berbakat yang membawa kehormatan kepada bola sepak Gabon,” tulisnya.

Bekas bintang Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang yang pernah bergandingan bersama Boupendza dalam skuad kebangsaan Gabon, turut menyatakan kesedihannya di media sosial berhubung kematian mengejut rakan sepasukannya itu.

Boupendza meninggalkan legasi sebagai seorang penyerang prolifik yang pernah beraksi di pelbagai kelab antarabangsa termasuk di Perancis, Turki, Qatar dan Amerika Syarikat sebelum menyertai Zhejiang FC. Pemergiannya meninggalkan kesan mendalam dalam dunia bola sepak. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram