
PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim baru-baru ini mengungkapkan sebab mengapa beraksi untuk Johor Darul Ta'zim (JDT) adalah pilihan yang tepat bagi pemain bola sepak profesional.
Tunku Ismail memberikan penjelasan tersebut selepas menyentuh isu keputusan beberapa pemain yang memilih untuk dipinjamkan ke kelab lain demi mendapatkan lebih banyak minit permainan.
Baginda menegaskan bahawa keseimbangan dalam semua aspek adalah faktor utama dalam memastikan kemajuan dan kestabilan karier seorang pemain bola sepak.
BACA LAGI: Lagu See You Again jadi klu jodoh Safuwan Baharudin bersama Gergasi Merah terlerai sudah
Tunku Ismail berkata, bermain untuk JDT menawarkan lebih daripada sekadar peluang beraksi di atas padang.
“Setiap tahun beraksi 25 perlawanan buat JDT, gaji RM50,000 tepat pada masanya.
“JDT juga ada peluang yang tinggi untuk memenangi trofi dan mendapat bonus yang baik setiap perlawanan. Ada juga bonus besar untuk setiap kejuaraan besar.
“Pemain dapat berlatih menggunakan fasiliti terbaik, beraksi di stadium terbaik, aksi pra-musim di Eropah dan potensi untuk beraksi pada kejohanan antarabangsa juga besar,” ujar baginda menerusi ciapan di laman X.
Baginda juga menjelaskan bahawa situasi tersebut tidak akan berlaku sekiranya pemain memilih untuk beraksi bersama kelab lain di Malaysia.
“Setiap tahun main 45 perlawanan di mana-mana kelab lain. Gaji RM20,000-30,000. Tak ada bonus setiap perlawanan.
“Peluang untuk memenangi trofi juga kecil. Tiada pusat latihan yang setaraf, rumput jenis cow grass dan gaji tak konsisten.
“Peluang untuk beraksi pada kejohanan antarabangsa juga rendah, aksi pra-musim tidak kompetitif,” tambah baginda.
Baginda juga yakin setiap aspek terutamanya pembayaran gaji penting untuk memastikan pemain dapat meneruskan kelangsungan hidup.
“Pada akhirnya, kamu ada bil untuk dibayar, hidup sekarang dan selepas karier kamu. Mana satu yang akan anda pilih jika anda seorang pemain bola sepak? ” ujar baginda lagi.
Kenyatan itu jelas menunjukkan bahawa JDT bukan sahaja menyediakan peluang bermain yang konsisten, tetapi juga jaminan kewangan yang stabil untuk pemain, sesuatu yang sangat penting dalam memastikan kelangsungan karier mereka.
Ini menjadikan JDT pilihan yang sangat menarik bagi pemain yang mahu berkembang dan mencapai kejayaan dalam dunia bola sepak profesional. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram