
PENYAKIT yang masih belum jumpa penawar iaitu masalah tunggakan gaji datang lagi menimpa beberapa kem Liga Super dengan dikhabarkan ada pasukan terpalit isu berkenaan sehingga empat bulan.
Jika bercakap mengenai solusinya, pasti masih ramai belum menemui penyelesaiannya namun apabila berbicara faktor berlakunya masalah berkenaan, gaji tinggi pemain antara penyebab masalah tersebut berlaku.
Sebelum ini, Harian Metro pernah melaporkan bahawa pasukan Liga Super dianggarkan memerlukan RM5 juta hingga RM6 juta untuk menanggung gaji keseluruhan pemain bagi semusim.
BACA LAGI: Penswastaan Liga Super gagal? 4 kelab buktikan peranan kerajaan negeri penting
Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah memetik laporan berkenaan menjelaskan bahawa gaji pemain import yang berkualiti tinggi mencecah hingga AS$30,000 (RM143,000).
Tidak dapat dinafikan ada juga yang bergaji lebih rendah iaitu RM20,000 sebulan namun menurut Effendi Jagan, jumlah berkenaan akhirnya bergantung kepada kualiti para pemain.
Laporan media tempatan mengenai gaji pemain Liga Super pada 2015. — NST
Walaupun kini pasukan Liga Super mengambil langkah untuk tidak mendedahkan perihal gaji pemain mereka namun jika diimbau pada musim 2015, satu akhbar tempatan pernah berkongsi perkara berkenaan.
Pendedahan gaji pemain pada musim tersebut boleh menjadi rujukan bahawa dengan liga yang semakin berkembang, pasti beberapa kelab Liga Super masa kini tidak kisah untuk berbelanja lebih membawa pemain berkualiti.
Berdasarkan laporan dari akhbar tempatan pada 2015, kali ini Majoriti mengimbau kembali empat pasukan yang sanggup pecah tabung demi membiayai pemain mereka;
1) Johor Darul Ta'zim (JDT)
Juara Liga Super 10 kali berturut-turut, JDT antara pasukan yang tidak pernah dilaporkan mengalami tunggakan gaji lagi-lagi sejak Tunku Ismail Sultan Ibrahim atau dikenali sebagai TMJ mengambil alih pada 2013.
Malah, sejak itu juga Tunku Ismail berani mengeluarkan bajet lebih untuk membawa jurulatih dan pemain berkualiti bagi memastikan Harimau Selatan sukar digugat kedudukan mereka dalam saingan liga.
Pada tahun ketiga JDT di bawah naungan TMJ, Harimau Selatan mempunyai seorang pemain import termahal dengan gaji berjumlah RM250,000 sebulan dan tonggak dimaksudkan ialah penyerang Argentina, Patricio Julian Rodriguez.
Patricio bagaimanapun hanya sekadar gah pada gaji apabila kontraknya bersama JDT terpaksa ditamatkan lebih awal ekoran daripada kecederaan yang dialaminya sehingga menjejaskan persembahannya.
Manakala, dua pemain tempatan iaitu Safiq Rahim dan Safee Sali yang ketika itu menyarung jersi Harimau Selatan masing-masing menerima gaji RM70,000 dan RM40,000 pada musim berkenaan.
2) Terengganu FC (TFC)
Terengganu juga tidak terkecuali daripada tersenarai dalam pasukan sanggup berbelanja duit lebih apabila ketika itu, skuad Sang Penyu dilaporkan membayar sekitar RM108,000 sebulan untuk Paulo Rangel.
Rangel yang mempunyai pengalaman beraksi bersama Perak dan Selangor menyertai Terengganu pada 2015 dengan kontrak selama dua tahun sehingga 2016 namun ia ditamatkan setahun lebih awal.
Sejak menyarung jersi Terengganu, pemain yang kini berusia 39 tahun itu menjaringkan 16 gol dengan lapan gol daripadanya dalam aksi Liga Super, enam Piala FA dan dua Piala Malaysia.
Seorang pemain tempatan yang turut menerima bayaran mahal daripada Terengganu ketika itu ialah Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo apabila dilaporkan mendapat gaji sekitar RM80,000 sebulan.
3) Selangor FC
Selepas JDT, Selangor FC menjadi pasukan yang dipercayai mempunyai kewangan kukuh apabila sering mendapat tajaan daripada pelbagai syarikat korporat sehingga mampu merekrut pemain berkualiti.
Pada musim berkenaan, Gergasi Merah dilaporkan mempunyai dua pemain import mahal iaitu bek tengah Australia, Robert Cornthwaite dan import Brazil, Leandro Dos Santos yang menerima gaji dalam lingkungan RM54,000 hingga RM73,000 sebulan.
Cornthwaite meninggalkan Selangor pada jendela perpindahan pertengahan musim 2016 dan membantu Gergasi Merah menjulang kejuaraan Piala Malaysia ke-33 yang bersejarah pada 2016.
Manakala, Leandro yang juga meninggalkan Selangor pada tahun sama kembali pulang ke kampung halaman dengan menyertai Luverdense sebelum menyarung jersi Perak pada musim 2017 hingga 2021.
4) Sri Pahang
Sri Pahang antara pasukan yang sukar digugat pada suatu ketika dahulu dengan skuad Tok Gajah mempunyai lambakan import berkualiti dan antaranya ialah Dickson Nwakaeme.
Pada musim 2015, Nwakaeme menjadi pemain kedua menerima bayaran gaji tertinggi selepas Patricio apabila Tok Gajah dilaporkan memberi RM160,000 sebulan untuk khidmat penyerang kelahiran Nigeria itu.
Pemain yang kini berusia 38 tahun berkenaan bermain untuk Pahang dari 2014 hingga 2015. Pada tahun keduanya bersama Tok Gajah, dia menjaringkan 10 gol dalam 28 perlawanan domestik.
Bukan itu sahaja, pemain bertubuh sasa dengan gelaran 'Orang Besi' itu juga memainkan peranan penting dalam Piala AFC untuk pasukan Tok Gajah apabila dia menjaringkan enam gol dalam lima perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram