
BEKAS jurulatih kecergasan Kelantan FC, Iskandar Salleh tidak menolak bahawa ketiadaan latihan secara berpasukan menjadi punca utama kepada prestasi hambar yang terus membelenggu Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) dalam saingan Liga Super musim ini.
Pasukan yang berpangkalan di Pantai Timur itu terus bergelut, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tahap persediaan dan komitmen pemain secara keseluruhan.
Mengulas kekalahan tipis 1-2 kepada Negeri Sembilan FC baru-baru ini, Iskandar menyifatkan keadaan semasa pasukan itu sememangnya sangat membimbangkan.
BACA LAGI: [VIDEO] JDT tak kebal mana, Kedah antara 4 pasukan tambat seri Harimau Selatan
KDN FC menelan pahit apabila terus mengalami kekalahan dalam saingan Liga Super musim ini. — Facebook/NSFC
Menurutnya, moral dan semangat juang para pemain berada pada tahap rendah, sekali gus memberi kesan besar terhadap prestasi di atas padang.
"Pandangan saya, tahap mental dan motivasi pemain Kelantan nampaklah down.
“Kalau pasal kekalahan itu, kena faham Kelantan sekarang tak train as a team sudah lama. Mungkin sebab sudah tiada mood nak main," katanya kepada Majoriti.
Sebelum perlawanan menentang Negeri Sembilan, Kelantan turut mengalami kekalahan besar apabila dibelasah 0-9 oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Khamis minggu lalu.
Apa yang lebih menyedihkan, pemain-pemain KDN FC dilihat tidak bersemangat dalam melancarkan serangan mahupun memperkukuh benteng pertahanan.
Iskandar (dua dari kanan) pernah menjadi jurulatih kecergasan Kelantan pada musim 2023.
Mengulas mengenai pendekatan terbaik bagi memulihkan semangat pasukan, Iskandar berpendapat musim ini bukan masa yang sesuai untuk mengharapkan kebangkitan daripada Kelantan.
Tambahnya, dalam keadaan serba kekurangan, tiada jalan penyelesaian jangka pendek yang mampu membawa perubahan drastik.
“Bagi saya, tiada pendekatan terbaik untuk pulihkan semangat pasukan untuk musim ini. Nak baiki semua itu, kena mula semula musim depan,” jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram