Kelab Sharnaaz Ahmad bakal debut Liga A3, ex Pahang dan Kelantan jadi taruhan Carabat FC


  • Podium
  • Selasa, 08 Apr 2025

Azidan (tengah) bersama Pahang selama lima musim iaitu dari 2013 hingga 2017. — Facebook/Pahang

PELAKON terkenal tanah air, Sharnaaz Ahmad sebelum ini mencuri tumpuan apabila muncul sebagai pemilik kelab bola sepak baharu iaitu Carabat FC pada Oktober 2024, dengan langkah itu memperlihatkan sisi berbeza selebriti popular itu.

Carabat FC ditubuhkan dengan matlamat untuk membangunkan bakat-bakat muda tempatan serta menyediakan platform profesional bagi pemain bola sepak amatur yang mahu melangkah lebih jauh dalam karier sukan.

Pejam celik, kelab yang berpangkalan di Lembah Klang itu kini giat mempersiapkan pasukan bagi menyertai liga-liga kompetitif tempatan bermula musim ini termasuk penyertaan mereka dalam saingan Liga Komuniti A3 Malaysia musim 2025.

BACA LAGI: Ikut trend ikat artis, Penang FC wajar sambar 'anak antoo' Sharnaaz Ahmad promosi kelab

BACA LAGI: TMJ inspirasi Sharnaaz Ahmad tubuhkan Carabat FC

Menerusi pengumuman dari Instagram rasmi Liga Komuniti A3 iaitu a_ligue mengesahkan bahawa kelab itu akan membuat penampilan sulung mereka untuk A Ligue Champions League A3 2025.

Kehadiran mereka dalam saingan A Ligue Champions League A3 2025 dijangka memberi saingan sengit kepada kelab lain lagi-lagi selepas insiatif mereka mengambil beberapa bekas pemain Liga Super.

Antara bekas pemain Liga Super yang bermain untuk Carabat FC ialah Azidan Sarudin. Pemain tengah itu sebelum ini pernah menyarung jersi Kuala Lumpur, Selangor FC, Pahang dan Penang FC sebagai kelab terakhirnya dalam saingan divisyen pertama Liga Malaysia.

Azidan lebih dikenali sebagai pemain kebangaan Tok Gajah susulan sepanjang bersama Pahang selama lima musim (2013-2017), dia berjaya menjulang Piala Sumbangsih, Piala FA dan Piala Malaysia. Ia menjadi kenangan begitu manis dalam kerjaya sebagai pemain profesional.

 

 

Selain itu, bekas penjaga gol Kelantan FC iaitu Irfan Haikal juga dilihat menjadi watak utama untuk Carabat FC musim ini ekoran pengalamannya yang pernah membela nasib skuad The Red Warriors (TRW) pada musim 2023.

Menerusi rekod musim terakhirnya bersama Kelantan, Irfan telah pun beraksi sebanyak 12 perlawanan bagi saingan Liga Super serta mencipta satu ‘cleansheet’ sewaktu bertemu Negeri Sembilan.

Nama Irfan mula dikenali ketika memboloskan 11 gol di laman sendiri sewaktu The Red Warriors dibelasah Selangor FC dalam aksi Liga Super pada 25 Ogos lalu. Namun, penyokong masih memberinya pujian kerana sanggup bermain untuk Kelantan ketika waktu sukar.

Sebelum ini, Irfan mengakui menerima tawaran daripada beberapa kelab Liga M3. — Facebook/TRW Kelantan FC

Ketika penubuhan Carabat FC, Sharnaaz memberitahu bahawa sebagai kelab yang dikira baru dalam komuniti bola sepak, dia mempunyai visi untuk memberi impak kepada arena bola sepak negara.

“Penubuhan kelab ini didorong dengan rasa semangat yang mendalam terhadap sukan dan keinginan untuk memberikan platform buat pemain berbakat untuk mempamerkan kebolehan mereka,” katanya.

Menurutnya, Carabat FC berazam untuk berada di peringkat yang lebih tinggi dalam arena bola sepak Malaysia dan berharap mencapai lebih banyak kejayaan dalam masa terdekat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram