
KEMERIAHAN suasana perayaan Aidilfitri cukup dirasakan dengan pemain Liga Super yang meraikannya turut tidak terlepas daripada menyambutnya meskipun tahu terdapat batasan yang diletakkan pihak kejurulatihan.
Ini kerana masing-masing mengambil waktu berehat diberikan kelab untuk bertemu sanak-saudara atau sahabat rapat yang sukar ditemui kerana jadual padat dan tidak menentu.
Suasana meriah itu juga nampaknya dirasakan pemain import dengan ada daripadanya tidak pernah meraikan Hari Raya Aidilfitri kerana latar belakang berbeza.
BACA LAGI: Ismaheel ikut langkah 3 import Liga M pelajari budaya tanah air
BACA LAGI: [VIDEO] 'Isu gol Ismaheel Akinade, perlu ada 'evidence' sebagai rujukan'
Ismaheel (kiri) dan Akhyar mempunyai hubungan kukuh di luar padang. — Instagram/Akhyar Rashid
Antara yang bertuah menyambut tempoh perayaan tersebut ialah penyerang Terengganu FC, Ismaheel Akinade yang sudah memasuki musim kedua dalam Liga Super.
Selepas beraksi buat Kelantan FC dan Kelantan United FC sepanjang kempen 2023, pemain tinggi lampai tersebut mengambil keputusan untuk kekal di Pantai Timur setelah menyertai skuad Sang Penyu.
Namun, sambutan perayaan kali ini adalah lebih istimewa kerana dia dijemput rakan sepasukan, Akhyar Rashid untuk beraya di Kedah dengan masa diluangkan di Utara tanah air amat bermakna buatnya.
"Saya amat menikmatinya, saya tahu bagaimana perayaan Aidilfitri adalah momen yang penting buat umat Muslim. Jadi, saya berpeluang meraikan sambutan itu bersama keluarga Akhyar.
"Saya hargai pengalaman menyambut momen tersebut bersamanya. Saya berasa seperti di rumah dengan Akhyar dan keluarganya amat mengalu-alukan kehadiran saya," katanya kepada Majoriti.
Berdasarkan perkongsian di media sosial, penyerang berusia 31 tahun berkenaan kerap dilihat meluangkan masa bersama rakan sepasukannya itu di luar padang.
Malah, ketika Akhyar menjadi mangsa samun pada awal Mei tahun lalu, Ismaheel menjadi antara rakan sepasukan terawal melawatnya di hospital meskipun ketika itu baru beberapa hari menyertai skuad Sang Penyu.
"Saya boleh katakan bahawa dia serta Safawi (Rasid) merupakan rakan baik saya dalam pasukan kerana kami sering meluangkan masa bersama-sama," katanya lagi.
Persefahaman dicipta di luar padang itu menyaksikan ketiga-tiga pemain tersebut menjadi watak utama buat Terengganu FC yang kerap diturunkan sepanjang musim.
Bagaimanapun, kualiti dimiliki mereka belum cukup untuk membantu skuad Sang Penyu menikmati kempen cemerlang selepas dikecewakan di peringkat domestik serta dalam Piala Shopee.
Untuk rekod, Ismaheel diturunkan sebanyak 32 kali dalam semua pertandingan dengan lapan gol serta tiga bantuan jaringan dicatatkan dengan sumbangan lebih besar diharapkan daripadanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram