
JOHOR Darul Ta'zim II (JDT II) dinobatkan sebagai juara Piala Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) 2024/2025 selepas mencatat kemenangan meyakinkan 7-0 ke atas Penang FC II dalam aksi terakhir yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor, pada Selasa.
Kemenangan bergaya itu menyaksikan JDT II menamatkan saingan di kedudukan teratas dengan kutipan 53 mata, sekali gus menjarakkan diri daripada pencabar terdekat, Selangor FC yang turut mencatat kemenangan 7-0 ke atas Kedah Darul Aman FC B namun terpaksa berpuas hati di tangga kedua.
Kejayaan tersebut turut menjadi penawar duka buat skuad bimbingan Gonzalo Zaballos yang sebelum ini terkandas di pentas akhir Piala MFL musim 2023 selepas tewas kepada Terengganu FC II.
BACA LAGI: Curi 'limelight' pemain senior, larian bekas pelajar SMK Kulim bantu JDT II rangkul trofi Piala MFL
BACA LAGI: Hasrat tak tercapai, Jalil Elias beri petunjuk bakal sertai JDT II?
Bagi memastikan kemenangan mutlak, JDT II mengambil langkah strategik dengan menyenaraikan beberapa pemain berpengalaman dari skuad utama dalam kesebelasan utama termasuk Shane Lowry, Romel Morales, Heberty Fernandes dan Shahrul Saad.
Bagaimanapun, percaturan JDT meletakkan empat pemain senior mereka mengundang kritikan sesetengah penyokong domestik susulan trofi Piala MFL berhasil dirangkul berhasil diperolehi gara-gara bantuan bintang skuad utama.
Bagi pemerhati bola sepak tempatan, Afiq Rowley, menurunkan empat pemain itu tidak melanggar peraturan yang ditetapkan MFL dengan aksi terakhir itu merupakan perlawanan penting untuk menentukan juara.
"Bangga atau tidak, ia merupakan suatu kejohanan dan JDT menggunakan peluang peraturan diberikan oleh pihak MFL kepada setiap kelab dengan betul.
"Jadi persoalan pula, mengapa setiap kelab lain yang bertanding tidak menggunakan khidmat import atau senior buat skuad B-23 (Bawah 23 tahun), sedangkan ia dibenarkan mengikut had ditetapkan.
"Ia bergantung kepada jurulatih itu sendiri. Tetapi, jika saya seorang jurulatih dan persaingan untuk merebut kejuaraan begitu tipis, saya guna sahaja setiap peluang yang dibenarkan secara adil.
"Soal kepercayaan tidak perlu sebenarnya (jurulatih tidak percaya bakat muda), tetapi ia lebih kepada mendidik pemain muda untuk tidak selesa dan mengetahui kualiti pemain profesional itu sendiri jauh lebih baik.
"Walaupun JDT meletakkan senior dan import semalam (Isnin), saya perasan beberapa pemain muda mereka sendiri berkembang dengan baik hasil sentuhan senior/import seperti Najmudin (Najmudin Akmal Kamal Akmal)," katanya kepada Majoriti.
Najmudin dalam aksi menentang Penang FC II. — Facebook/JDT
Dalam perlawanan menentang Penang FC II itu, Najmudin Akmal melakar hatrik pertamanya pada musim ini. Manakala, Gabriel Nistelrooy dan Morales masing-masing menjaringkan dua gol untuk kemenangan 7-0 tersebut.
Selain itu, Afiq juga melihat dengan menurunkan beberapa pemain senior sebenarnya bukan merosakkan kejohanan tersebut, sebaliknya akan meningkatkan pengalaman mereka dan membaiki kemahiran atas padang mereka.
"Menurunkan pemain senior menjadikan pemain muda tidak berasa selesa dan mengetahui bagaimana kualiti pemain senior sebelum mereka sendiri merasai kelak.
"Harus diingatkan, saingan MFL lebih kepada transisi pemain muda untuk ke pentas profesional dengan lebih dekat. Bukan lagi sekadar pembangunan," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram