
NASIB penyerang import Selangor FC, Ronnie Fernandez untuk musim hadapan masih belum diputuskan sama ada akan kekal atau tidak lagi bersama Gergasi Merah.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon yang menjelaskan bahawa keputusan berkenaan diserahkan sepenuhnya kepada ketua jurulatih, Katsuhito Kinoshi.
Justeru, sama ada Ronnie akan terus menyarung jersi Selangor musim depan atau tidak, segalanya bergantung kepada penilaian dan keputusan jurulatih kelahiran Jepun itu.
BACA LAGI: [VIDEO] JDT tak kebal mana, Kedah antara 4 pasukan tambat seri Harimau Selatan
Untuk rekod, Ronnie merupakan pemain yang dibawa masuk bagi menggantikan penjaring terbanyak musim 2023, Ayron del Valle.
Ronnie bukan sahaja penyerang yang tajam, tetapi juga tonggak yang menyumbang kepada kestabilan dan kekuatan keseluruhan pasukan.
Mengekalkannya akan memberikan kelebihan taktikal dan konsistensi buat Selangor FC untuk musim hadapan.
Oleh itu, Majoriti menyenaraikan tiga sebab mengapa Ronnie patut kekal bersama pasukan Lembah Klang itu.
1. Rekod gol
Ronnie telah membuktikan keupayaannya sebagai penjaring prolifik dengan konsisten menjaringkan gol penting buat Selangor.
Ketajamannya di kotak penalti menjadikannya aset berharga yang sukar diganti, terutamanya dalam perlawanan besar.
Musim ini, Ronnie telah menjaringkan 12 gol dan tiga hantaran bantuan dalam 32 penampilan dalam semua kejohanan musim 2024/2025 bersama skuad Gergasi Merah.
Selain itu, bekas penyerang skuad kebangsaan Chile tersebut turut membantu Selangor mara ke perlawanan akhir Piala FA, memenangi Piala Cabaran 2024 dan menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua.
Penyerang kelahiran Chile, Ronnie Fernandez membuktikan keupayaannya sebagai penjaring prolifik dengan konsisten. — Facebook/Selangorfc
2. Pengalaman antarabangsa
Dengan pengalaman luas bermain di pelbagai liga antarabangsa termasuk di Chile, Emiriah Arab Bersatu dan Bolivia, Ronnie membawa dimensi kematangan dan ketenangan yang penting kepada jentera serangan Selangor.
Sepanjang kariernya, Fernandez merupakan seorang pemain yang dianggap sebagai journeyman kerana dia telah mewakili dalam 10 kelab.
Walaupun Fernandez lazimnya menghabiskan kariernya di Amerika Selatan seperti Chile, Venezuela dan Bolivia, tetapi dia juga mempunyai pengalaman beraksi di Asia.
Sebagai rekod, Fernandez pernah beraksi dekat Arab Saudi dengan mewakili Al-Fayha serta Al-Nasr SC di UAE. Malah, ketika mewakili Al-Nasr SC, dia pernah menghasilkan jaringan sewaktu bertemu Arsenal dalam aksi persahabatan pada 2019.
Ronnie telah menampilkan persembahan cemerlang selaku tonggak utama di jentera serangan Selangor FC. — Facebook/Selangorfc
3. Kekuatan fizikal
Kelebihan fizikal yang dimiliki oleh Ronnie menjadikannya seorang penyerang yang sukar dikawal, terutama dalam situasi satu lawan satu dan bola-bola tinggi.
Dengan ketinggian 1.84 meter, Ronnie berada dalam kategori fizikal ideal bagi seorang penyerang moden, yang bukan sahaja mampu memenangi pertarungan udara tetapi juga mempunyai kekuatan tubuh untuk mengekalkan kawalan bola di bawah tekanan pertahanan lawan.
Ketinggiannya turut memberi kelebihan dalam mencipta jaringan melalui tandukan, khususnya dalam situasi bola mati seperti sepakan sudut atau hantaran lintang.
Selain itu, dengan kekuatan fizikal yang dimilikinya, Ronnie juga mampu melakukan rembatan kencang dari jarak jauh atau sudut sukar, menjadikannya ancaman utama di barisan hadapan Selangor FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram