Diberi kepercayaan ubah nasib Aaron-Wooi Yik, Herry ucap terima kasih kepada BAM


  • Podium
  • Isnin, 14 Apr 2025

Kejayaan Aaron Chia-Wooi Yik menyaksikan penantian 18 tahun negara menjuarai kategori beregu lelaki BAC 2025 berakhir. — Facebook/BAM

KATA-KATA semangat daripada ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi  menjadi pencetus kebangkitan luar biasa pasangan beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang berjaya merangkul gelaran Kejohanan Badminton Asia 2024.

Pasangan yang kini menghuni ranking keenam dunia itu menebus kekecewaan tersingkir awal di All-England bulan lalu dengan menewaskan beregu tuan rumah, Chen Boyang-Liu Yi (ranking ke-16 dunia), dalam straight set 21-19, 21-17 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Ningbo, China, pada Ahad.

Kejayaan itu menamatkan penantian selama 18 tahun Malaysia untuk menyaksikan gelaran Asia kembali ke tanah air, selepas kali terakhir dimenangi oleh gandingan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah pada tahun 2007. 

BACA LAGI: Misi buru gelaran di Vietnam, prospek badminton negara teruja berganding pemain veteran

BACA LAGI: Lin Dan, ahli gandingan beregu emas negara antara bintang kidal badminton terhebat dunia

Bagi jurulatih Herry, kemenangan itu bukan sahaja menjadi hadiah bermakna buat skuad negara, tetapi turut mencatat sejarah peribadi buat beliau sebagai trofi sulung sejak mengambil alih tugas selaku ketua jurulatih beregu lelaki di Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Februari lalu, menggantikan Tan Bin Shen.

“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada BAM kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk membimbing beregu lelaki Malaysia,” ujar Herry dalam sidang media selepas perlawanan.

Menurutnya, kegagalan di All-England disebabkan kecederaan bahu yang dialami Aaron, namun beliau tetap optimis dengan kebangkitan anak-anak buahnya.

“Aaron menjalani pemulihan selepas itu, dan saya juga memberikan kata-kata motivasi kepada dia dan Wooi Yik. Saya berpesan agar lupakan episod lalu dan fokus sepenuhnya untuk Kejohanan Asia,” jelasnya.

Mengulas mengenai aksi final menentang Boyang-Liu Yi, Herry memuji disiplin taktikal yang ditunjukkan Aaron-Wooi Yik, terutama dalam set pertama.

“Mereka melaksanakan strategi seperti yang dirancang. Walaupun perlawanan sengit, mereka kekal fokus. Pada set kedua, pasangan China cuba mengubah gaya permainan, dan Aaron-Wooi Yik sempat ketinggalan 8-11, tetapi saya arahkan mereka untuk kembali kepada corak permainan semasa latihan, dan itu berhasil,” katanya.

Kejayaan itu menjadi suntikan semangat penting buat Aaron-Wooi Yik menjelang kempen kelayakan Sukan Olimpik Paris dan membuktikan bahawa mereka masih antara gandingan terbaik dunia apabila berada di prestasi terbaik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram