Luka masih belum terubat, Perak FC dituntut balas dendam ke atas Sri Pahang


  • Podium
  • Rabu, 09 Apr 2025

Skuad TBG disingkirkan Sri Pahang FC di pusingan suku akhir Piala Malaysia 2024/25. — Facebook/Perak FC

MESKIPUN mengalami musim yang sedikit suram, Perak FC masih boleh berpuas hati dengan prestasi mereka kerana sedang menduduki tangga ketujuh hasil 27 mata yang dikutip.

Kedudukan itu adalah lebih baik berbanding kempen lalu apabila kelab Utara tanah air itu berada di kedudukan ke-11 dengan hanya enam kemenangan dan empat keputusan seri direkodkan.

Namun, skuad The Bos Gaurus (TBG) masih berpeluang mendaki tangga carta sekiranya berjaya meraih mata maksimum daripada dua aksi berbaki, termasuk perlawanan terakhir di laman sendiri sebelum berkunjung ke Stadium Likas, Sabah untuk berdepan skuad Sang Badak.

BACA LAGI: Penuhi impian Yusri Che Lah, Perak 'comeback' kutip 3 mata di Stadium KL

BACA LAGI: Hilang tonggak utama bukan masalah, Yusri Che Lah ada senjata rahsia tumpaskan KL City

Skuad TBG mampu mendaki ke tangga keenam sekiranya meraih kemenangan dalam dua baki perlawanan. Facebook/Perak FC

Mereka yang kini beraksi di Stadium Manjung, Perak akan menerima kunjungan pasukan bermasalah, Sri Pahang FC pada Sabtu ini yang juga pasti mahu membawa pulang tiga mata penuh.

Ini kerana skuad Tok Gajah sudah merekodkan dua kemenangan berturut-turut ketika ini, termasuk kejayaan membenam Kedah Darul Aman (KDA) FC dengan keputusan 6-0 pada Selasa.

Bagaimanapun, bagi penyokong Perak FC, anak-anak buah Yusri Che Lah tidak perlu gusar dengan cabaran pasukan lawan kerana skuad TBG juga mempunyai kelebihan tersendiri.

Malah, mereka juga percaya motivasi tambahan boleh diterapkan barisan kejurulatihan terhadap pemain dengan mengingatkan bahawa aksi itu menyajikan peluang membalas dendam terhadap Sri Pahang FC.

"Misi balas dendam kerana kita kalah dengan Pahang dalam Piala Malaysia tempoh hari," kata Kerepek Ubi Pedas.

Skuad TBG menggunakan Stadium Manjung berikutan kerja-kerja menambah baik Stadium Perak. — Facebook/Perak FC

"Harapnya bolehlah kita saksikan Perak membalas dendam ke atas Pahang. Luka daripada kekalahan Piala Malaysia masih belum terubat," ujar Zamri Alif.

Dalam pertembungan Piala Malaysia lalu, kedua-dua pasukan bertemu di pusingan suku akhir, namun kemaraan ke peringkat seterusnya berpihak kepada skuad Tok Gajah dengan agregat 4-3.

Penyingkiran itu sememangnya pahit untuk ditelan, lebih-lebih lagi kerana Perak FC berjaya mencatatkan keputusan seri 3-3 dalam aksi timbal balik, tetapi nasib tidak menyebelahi mereka.

Bagaimanapun, skuad TBG masih memiliki cara untuk menundukkan pasukan kendalian Fandi Ahmad tersebut kerana pertemuan dalam Liga Super di Stadium MP Temerloh, Pahang menyaksikan tiga mata milik pasukan pelawat.

Keputusan positif itu diharapkan penyokong Perak FC dapat berulang di Stadium Manjung kerana ia akan menjadi perlawanan terakhir di gelanggang tersebut sebelum pasukan itu kembali ke Stadium Perak, Ipoh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram