
PEMAIN Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Syafiq Ahmad mencuri tumpuan peminat bola sepak dan pengguna media sosial apabila muncul dalam satu video iklan bersama pempengaruh popular TikTok, SuperPandy.
Video berdurasi pendek itu dimuat naik di platform TikTok miliknya pada Rabu, menampilkan Syafiq dalam gaya santai dan bersahaja, sekali gus memperlihatkan sisi lain dirinya di luar padang.
Aksi lakonan Syafiq bersama Super Pandy mendapat pelbagai reaksi daripada netizen, kebanyakannya terhibur dan terkejut melihat kelibat bintang bola sepak negara dalam dunia penciptaan kandungan digital.
BACA LAGI: Dah lupa episod 2018, Ramon Marcote terbuka kembali ke Kedah musim depan
Iklan tersebut dipercayai sebahagian daripada kempen promosi produk, yang mana Syafiq memainkan watak utama dalam satu situasi komedi ringan, lengkap dengan dialog loghat Kedah yang mencuit hati.
Peminat turut memuji keberanian Syafiq mencuba bidang baharu di samping kariernya sebagai pemain profesional sekali gus dianggap mampu memberi inspirasi kepada atlet lain untuk lebih terbuka terhadap platform media sosial, tidak kurang juga ada yang berharap agar Syafiq terus komited bersama skuad Sang Kenari.
Seorang warga maya, syafiqndzir109, meluahkan kerinduan terhadap aksi Syafiq bersama skuad Hijau Kuning.
"Syafiq, hang (awak) tak mahu main dah ke dengan Kedah? Mai (jum) la main perhabis (habiskan) musim ni, sikit sahaja lagi," tulisnya.
Seorang lagi pengguna TikTok yang juga content creator (pencipta kandungan), Kyopropaganda pula meninggalkan komen lucu.
"Tolong jangan jadi content creator, nanti saya tak boleh cari makan," tulisnya.
Video tersebut mendapat sambutan hangat dan dikongsi meluas, memperlihatkan kemampuan pemain itu beradaptasi dengan dunia media sosial dan pengaruh digital masa kini.
Sementara itu, seorang lagi pengguna media sosial, Water Men memuji lakonan Syafiq dalam percubaannya dalam dunia lakonan.
"Steady pittt (Syafiq), mana nak tahu boleh jadi pelakon pulak," katanya.
Untuk rekod, kali terakhir Syafiq turun beraksi buat skuad Sang Kenari pada 10 Januari lalu ketika menyaksikan Kedah menewaskan Kelantan Darul Naim FC dengan Syafiq turun selaku pemain gantian.
Sebelum ini, Majoriti melaporkan Syafiq mengalami kecederaan ketika mewakili skuad kebangsaan pada Disember tahun lalu yang memaksa Syafiq berjalan menggunakan tongkat selepas perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram