
SABAH FC berhasil mendaki kembali ke tangga ketiga carta Liga Super 2024/2025 selepas menang tipis 1-0 ke atas PDRM FC untuk menambah tiga mata dalam aksi di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada Selasa.
Gol tunggal skuad The Rhinos tersebut dijaringkan menerusi tandukan pemain pertahanannya, Dominic Tan selepas menyambut bola sepakan sudut penyerang sayap Sang Badak iaitu Saddil Ramdani pada minit ke-42.
Sementara Sabah berhasil menghuni semula kedudukan ketiga, skuad PDRM FC pula kini berada di tangga kelapan apabila mereka hanya meraih 24 mata selepas 22 perlawanan yang berlangsung setakat ini.
BACA LAGI: Tak setuju pemilihan MOTM, fans The Rhinos anggap anak jati Sabah lebih layak
BACA LAGI: Legenda Sabah mahu kembalikan gaya OKS, percaya Saddil kunci The Rhinos buru tangga ke-3
Di sebalik kemenangan di bumi Likas tersebut, penyokong Sabah rupanya tidak berpuas hati dengan salah seorang tonggak The Cops iaitu Hadi Fayyadh yang dikesan melakukan insiden kontroversi terhadap pemain mereka, Farhan Roslan.
Menerusi rakaman ulang siar yang tular di media sosial, bekas pemain pasukan Jepun, Fagiano Okayama tersebut dilihat menolak Farhan secara agresif sehingga pemain tengah The Rhinos itu terjatuh.
Meskipun tindakan pemain berusia 25 tahun itu adalah untuk menghalang pergerakan Farhan namun ia dilakukan secara tidak profesional dan seolah-olah tidak pernah menimba pengalaman di Jepun.
"Ini sahaja yang dia (Hadi) bawa dari Jepun," tanya penyokong bola sepak tempatan, dis.fiq.
"Lain macam ilmu yang dia belajar di luar negara," tanya salah seorang penyokong Sabah FC, Haiman.
"Kalau dia tackle sikit okey dah tapi ini mentah-mentah main tolak begitu. Pakai dua tangan lagi," komen penyokong The Rhinos, Ryef.
Lebih menyakitkan hati apabila pengadil perlawanan, Muhammad Izzul Fiki Kamaruzaman hanya melayangkan kuning kepada pemain tinggi lampai berkenaan sedangkan tindakannya itu dilihat wajar untuk dibuang padang.
Dengan pengalamannya yang pernah berkelana di bumi Jepun selama empat tahun, penyokong tanah air pasti meletakkan harapan tinggi kepada Hadi untuk menunjukkan sikap profesional di atas padang.
Untuk rekod, Hadi mula berkelana di Jepun dengan menandatangani kontrak bersama kelab divisyen kedua negara berkenaan, Fagiano Okayama pada Disember 2018. Penyertaan tersebut hadir selepas Hadi menjalani latihan percubaan sebanyak dua kali bersama Okayama.
Hadi ketika bersama Fagiano Okayama.
Bagaimanapun, Hadi gagal meraih sebarang penampilan bersama skuad senior kelab itu dan hanya beraksi bersama skuad remaja. Pada awal 2021, Hadi menyertai kelab yang beraksi di divisyen ketiga Jepun, Azul Claro Numazu dengan status pemain pinjaman daripada Fagiano Okayama.
Bersama Azul Claro Numazu, Hadi berhasil tembus ke skuad utama dan meraih penampilan tetapi situasi itu tidak kekal lama apabila dia ditimpa kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) sekaligus memaksanya berehat panjang.
Pada musim 2023, Hadi mengejutkan ramai pihak dengan menyertai Perak FC tetapi khidmatnya digunakan sehingga musim 2024. Kini, penyerang berkenaan memperkuatkan jentera serangan PDRM FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram