
KEJAYAAN skuad bawah 17 tahun (B-17) Indonesia melayakkan diri ke Piala Dunia baru-baru ini menjadi cerminan kejayaan sistem pembangunan akar umbi yang berkesan dalam landskap bola sepak mereka.
Skuad B-17 Sang Garuda mengesahkan kemaraan ke Piala Dunia B-17 2025 selepas mencatat kemenangan bergaya 4-1 ke atas Yemen dalam aksi kedua peringkat kumpulan C saingan Piala Asia B-17 di Stadium Prince Abdullah Al Faisal Sports City pada Isnin.
Kejayaan berkenaan bukanlah satu kebetulan tetapi hasil perancangan jangka panjang yang menitikberatkan aspek pembangunan fizikal, mental dan taktikal pemain bolas epak mereka sejak usia muda.
BACA LAGI: JDT berwajah baharu, 3 bintang muda jadi watak penting, pacu adrenalin Harimau Selatan musim depan
BACA LAGI: Legenda Selangor ucap tahniah buat Indonesia, sempat 'tegur' pelan bola sepak negara
Berdasarkan pemerhatian bekas jurulatih kecergasan Kelantan FC iaitu Iskandar Salleh, beliau melihat pemain-pemain muda Indonesia dilihat berada dalam keadaan fizikal yang sangat baik (highly conditioned).
Iskandar berkata, ia membolehkan mereka menyaingi pasukan-pasukan kuat lain di rantau Asia dan dunia. Mereka dibentuk menerusi sistem latihan yang tersusun, sokongan sains sukan dan pendekatan moden yang menitikberatkan aspek kecergasan serta daya tahan.
Sebaliknya, di Malaysia pula menyaksikan pembangunan pemain muda masih belum mencapai tahap yang sama. Malah, ada yang berpandangan bahawa kita telah pun ketinggalan berbanding negara jiran dari segi pembinaan asas bola sepak.
Namun begitu, pakar dalam bidang sains sukan terutamanya strength and conditioning berkenaan menegaskan bahawa belum terlambat untuk Malaysia melakukan anjakan besar dalam membangunkan akar umbi.
Indonesia mengesahkan tiket ke Piala Dunia B-17 selepas menewaskan Yemen. — Facebook/TimnasIndonesia
“Memang kita ketinggalan dari segi intensiti latihan dan pembangunan fizikal remaja. Tapi ini bukan noktah. Ini titik mula untuk perubahan,” kata Iskandar yang mempunyai sijil tahap dua kekuatan dan conditioning daripada World Rugby itu.
Selain itu, Iskandar juga menyarankan supaya Malaysia mengambil pendekatan jangka panjang dengan memperkenalkan program pembangunan fizikal yang menyeluruh bermula dari peringkat kanak-kanak, bukan sekadar latihan teknikal biasa.
"Latihan intensif yang lebih serius disarankan bermula sekitar usia 15 tahun, ketika perkembangan fizikal pemain berada di tahap optimum.
"Dalam konteks ini, penglibatan sains sukan, pemakanan, psikologi sukan dan kepakaran jurulatih berkualiti perlu digabungkan dalam satu ekosistem pembangunan bola sepak negara," jelasnya kepada Majoriti.
Iskandar (dua dari kanan) pernah menjadi jurulatih kecergasan Kelantan pada musim 2023.
Tambahnya, Indonesia telah membuktikan bahawa dengan pelaburan awal dan fokus yang tepat, pasukan dari Asia Tenggara mampu menembusi pentas dunia.
Malaysia kini berada di persimpangan penting. Soalnya bukan lagi sama ada kita mampu, tetapi sama ada semua pihak bersedia untuk berubah dan melabur dalam masa depan bola sepak negara.
Jika tidak, kejayaan Indonesia hanya akan menjadi satu lagi kisah pencapaian jiran yang kita sekadar tonton dan bukan tiru. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram