
SAINGAN Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two memasuki kemuncak apabila hanya empat pasukan berbaki sedang merebut slot finalis bagi kempen kali ini yang akan diadakan pada 18 Mei depan.
Tumpuan peminat pasti diberikan terhadap kelab Singapura, Lion City Sailors kerana menjadi wakil terakhir dari Asia Tenggara yang mara ke pusingan separuh akhir.
Mereka yang menundukkan Muangthong United dari Thailand dan kelab Jepun, Sanfrecce Hiroshima pasti mahu melangkah ke pentas final buat kali pertama dalam sejarah kelab.
BACA LAGI: Hariss Harun kembali ke SSI, kali ini pegang watak 'antagonis'
BACA LAGI: Tahu kualiti Harimau Selatan tapi Hariss Harun tetap teruja dapat peluang berdepan JDT
Douglas Costa yang pernah beraksi buat Bayern Munich kini bermain untuk Sydney FC. — Facebook/Sydney FC
Impian itu seperti boleh dicapai kerana pada Rabu lalu, pasukan itu berjaya mencipta kejutan selepas menundukkan wakil Australia, Sydney FC dengan keputusan 2-0.
Kemenangan selesa itu diraih dengan bantuan pemain berpengalaman merangkap kapten pasukan, Hariss Harun yang beraksi cemerlang dalam memastikan gawang mereka tidak dibolosi.
Dia yang beraksi selama 90 minit di laman sendiri menampilkan persembahan memberangsangkan dalam mengekang jentera serangan Sydney FC yang turut dibarisi bekas pemain sayap Bayern Munich dan Brazil, Douglas Costa.
Meskipun bukanlah pasukan terbaik di Australia, pasukan itu masih memiliki catatan gol yang cukup baik dengan 47 jaringan sudah dicatatkan dalam saingan liga.
Hariss (kiri) ketika membantu JDT menjulang Piala AFC 2015.
Pengalaman dimiliki Hariss Harun sepanjang bermusim-musim beraksi buat Johor Darul Ta'zim (JDT) pasti membantunya menampilkan aksi pertahanan terbaik selepas beberapa kali bertemu bintang bertaraf dunia.
Selain itu, bek kebangsaan Singapura tersebut pasti bercita-cita tinggi di peringkat kali ini dalam usaha menambah kejuaraan peringkat Asia kedua dalam kariernya.
Ini kerana semasa bersama skuad Harimau Selatan, pemain itu berpeluang menjulang Piala AFC yang sekali gus menjadikan pasukan tanah air berkenaan kelab pertama dari Asia Tenggara menjuarai kejohanan terbabit.
Kemenangan di Stadium Jalan Besar, Singapura itu memberi bekalan selesa buat anak-anak buah Aleksandar Rankovic yang pasti mahu meneruskan rentak cemerlang di pentas Asia bagi pertembungan timbal balik pada Rabu depan.
Sekiranya melangkah ke pentas akhir ACL Two 2024/25, Lion City Sailors akan bertemu Al-Taawoun (Arab Saudi) atau Sharjah FC (Emiriah Arab Bersatu) yang pasti akan menyajikan pertembungan cukup menarik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram