
MENJELANG sambutan Hari Raya Aidilfitri, pemain dan pegawai Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menerima sumbangan berjumlah RM200,000 melalui Tabung Aidilfitri Pemain Bola Sepak Kedah.
Sumbangan itu disampaikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dalam majlis yang diadakan di Alor Setar baru-baru ini.
Tabung itu diusahakan oleh tiga badan bukan kerajaan (NGO): Rangkaian Anak Darulaman Se-Malaysia (RADA), Pertubuhan Sukarelawan Rakyat Aman (SUARA), dan Persatuan Anak Darulaman Malaysia (ADAM).
BACA LAGI: Dah lupa episod 2018, Ramon Marcote terbuka kembali ke Kedah musim depan
Sumbangan itu diharapkan dapat meringankan beban pemain dan pegawai Sang Kenari yang menghadapi tunggakan gaji hampir setahun, terutama menjelang Aidilfitri.
Datuk Seri Saifuddin Nasution menyatakan bahawa kutipan RM200,000 berjaya dikumpulkan dalam masa yang singkat dan berharap bantuan ini dapat membantu pemain dan pegawai membuat persiapan raya.
Inisiatif itu menunjukkan solidariti dan keprihatinan masyarakat terhadap nasib pemain dan pegawai Kedah, serta membantu mereka menyambut Aidilfitri dengan lebih bermakna.
Selepas sekian lama tidak kelihatan bersama skuad Kedah, kelibat Syafiq Ahmad kembali dikesan baru-baru ini.
Dalam majlis itu, penyerang berusia 29 tahun itu dikesan dalam Majlis Serah Sumbangan Tabung Aidilfitri.
Kelibat Syafiq itu jelas membuktikan bahawa Syafiq masih lagi pemain yang menyarung jersi Kedah selepas dipinjamkan dari kelabnya, Johor Darul Ta’zim (JDT) sejak awal musim ini.
Untuk rekod, kali terakhir Syafiq turun beraksi buat Kedah adalah pada 10 Januari lalu ketika menyaksikan Kedah menewaskan Kelantan Darul Naim FC dengan Syafiq turun selaku pemain gantian.
Namun perlu diingatkan bahawa Syafiq mengalami kecederaan ketika mewakili skuad kebangsaan pada Disember tahun lalu yang memaksa Syafiq berjalan menggunakan tongkat selepas perlawanan.
Selain Syafiq, kelibat Rizal Ghazali turut mencuri perhatian selepas agak lama aksinya tidak kelihatan di atas padang.
Kedua-dua pemain ini, bersama rakan sepasukan lain, berusaha keras untuk mengatasi cabaran semasa dan mencapai prestasi terbaik bagi KDA FC.
Kedah kini berada di tangga ke-11 Liga Super dengan mengumpul 20 mata selepas 21 perlawanan yang diharungi.
Untuk aksi seterusnya, Kedah bakal bertemu Sri Pahang FC di gelanggang lawan pada 8 April. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram