Dah lupa episod 2018, Ramon Marcote terbuka kembali ke Kedah musim depan


  • Podium
  • Jumaat, 04 Apr 2025

Marcote berhasrat untuk kembali ke Malaysia musim depan.

KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) menghadapi masalah kewangan serius sepanjang musim 2024/25, dengan pemain dan pegawai pasukan mengalami tunggakan gaji sehingga 10 bulan.

Situasi itu menyebabkan kebimbangan mengenai kelangsungan pasukan dalam Liga Super pada musim depan.

Pada 13 Mac, Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, mendedahkan bahawa KDA FC dan Sri Pahang FC berkemungkinan besar tidak akan beraksi dalam saingan Liga Super musim depan akibat pengurusan kewangan yang tidak cekap, di mana perbelanjaan melebihi pendapatan. ​

BACA LAGI: Masih terkandas di Myanmar akibat gempa, fans Penang lega 'dangerous winger' NSFC mungkin terlepas aksi lawan Harimau Kumbang

BACA LAGI: [VIDEO] Rufino Segovia antara 3 wira 'last minute' bantu kelab Liga Super terus bernafas

Pihak pengurusan Sang Kenari sedang berusaha mencari penaja dan rakan strategik untuk menstabilkan keadaan kewangan kelab.

Mereka juga bersedia mengurangkan peruntukan bajet dan fokus kepada kestabilan kewangan bagi memastikan kelangsungan pasukan dalam Liga Super.

Walaupun menghadapi cabaran kewangan, Kedah bertekad untuk terus beraksi dalam saingan Liga Super musim 2025/26 dan sedang berusaha menyelesaikan isu kewangan yang dihadapi.

 

 

Meskipun situasi Kedah yang dilihat kritikal, jurulatih dari Sepanyol, Ramon Marcote terbuka untuk kembali membantu Sang Kenari menghadapi saingan musim depan.

Kedah yang kini masih tiada ketua jurulatih tetap pastinya mahu memburu seorang individu berpengalaman tinggi seperti Marcote.

"Jika pilihan itu timbul di peringkat kelab (kepulangan ke Kedah), kita harus duduk berbincang dan cuba mencapai perkara yang saling menguntungkan buat kedua-dua pihak.

"Mengenai kembali buat kali ketiga ke Kedah, saya terbuka untuk bekerja jika pilihannya baik.

"Isu pada 2018 banyak tahun telah berlalu, yang lepas biarlah berlalu. Saya tidak suka menoleh ke belakang. Lebih baik sentiasa melihat ke hadapan," katanya kepada Majoriti.

 

 

Untuk rekod, Marcote pertama kali menyertai Kedah pada Disember 2014 sebagai penolong jurulatih dan jurulatih kecergasan di bawah kendalian Tan Cheng Hoe.

Dalam peranan itu, Marcote memainkan peranan penting dalam memperkenalkan corak permainan 'tiki-taka' kepada pasukan.

Pada September 2015, Marcote dilantik sebagai ketua jurulatih Kedah, menggantikan Cheng Hoe yang menghadiri kursus FIFA Pro License di Guangzhou, China.

Di bawah bimbingannya, Kedah berjaya mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2015, namun tewas 0-2 kepada Selangor.

Selepas kembali ke Atletico Madrid sebagai koordinator akademi pada 2016, Marcote sekali lagi dilantik sebagai ketua jurulatih Kedah pada Disember 2017 untuk musim 2018.

Bagaimanapun, tempoh keduanya bersama Kedah tidak berlangsung lama, dan beliau meninggalkan pasukan tersebut pada penghujung 2018. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram