
BINTANG Liverpool, Mohamed Salah dijangka akan menandatangani lanjutan kontrak selama dua tahun bersama kelab Merseyside itu selepas menolak tawaran lumayan daripada beberapa kelab Liga Pro Saudi.
Pengumuman rasmi mengenai kontrak baharu Salah serta rakan sepasukannya, Virgil van Dijk dijangka akan dilakukan dalam masa terdekat. Kedua-dua pemain dijangka kekal di Anfield sehingga sekurang-kurangnya 2027.
Keputusan itu hadir selepas beberapa bulan rundingan serta kegusaran yang memuncak dalam kalangan penyokong The Reds, terutamanya apabila muncul laporan bahawa Trent Alexander-Arnold berkemungkinan meninggalkan kelab secara percuma untuk menyertai Real Madrid.
BACA LAGI: Dilabel juara tak semenggah, rekod jadi bukti Liverpool berhak rangkul EPL
BACA LAGI: Peraturan kesihatan rencat taktikal Arne Slot turunkan Alisson, dianggap punca Liverpool tewas
Meskipun laporan media pada Rabu tidak mengesahkan secara rasmi bahawa persetujuan telah dicapai, sumber dalaman memaklumkan bahawa perkara ini kini dianggap sekadar satu formaliti sahaja.
Menurut laporan wartawan sukan Chris Bascombe dari The Telegraph, Salah telah menolak tawaran daripada beberapa kelab Liga Pro Saudi dengan jelas menyatakan bahawa dia tidak berhasrat meninggalkan Eropah dalam masa terdekat.
Al-Hilal dikatakan menjadi destinasi paling berpotensi sekiranya dia meninggalkan Liverpool, manakala Al-Ittihad pernah mengemukakan tawaran sekitar £150 juta (RM900 juta) pada 2023 yang ditolak kelab.
Difahamkan, Salah menyedari dia kekal menjadi buruan kelab-kelab Timur Tengah, namun matlamat bola sepaknya dilihat mengatasi keinginan terhadap kekayaan yang ditawarkan liga tersebut.
Salah difahamkan menyambung kontrak sehingga dua musim. — Agensi
Walaupun memilih untuk kekal di Anfield, Salah tidak akan menerima pemotongan gaji. Paul Joyce dari The Times melaporkan bahawa tiada perbincangan mengenai sebarang pengurangan gaji dalam rundingan kontrak baharu itu.
Salah dijangka mengekalkan gaji mingguannya sebanyak £350,000 (RM2.1 juta) menjadikannya pemain dengan bayaran tertinggi dalam sejarah Liverpool. Malah, menurut wartawan Mesir, Ismael Mahmoud, jumlah itu berkemungkinan meningkat kepada £400,000 (RM2.2 juta) seminggu.
Selain itu, penyerang berusia 32 tahun berkenaan turut memperoleh pendapatan mencecah £1 juta (RM5.1 juta) seminggu apabila digabungkan dengan pendapatan daripada kontrak penajaan dan hak imej.
Al-Ittihad pernah mengemukakan tawaran sekitar RM900 juta pada 2023 kepada Liverpool untuk mendapatkan Salah. — Agensi
Wartawan Danny Gallagher pula melaporkan bahawa perincian kontrak baharu Salah telah dipersetujui sejak sekian lama, namun terdapat sedikit kelewatan berikutan perbincangan mengenai insentif tambahan seperti bonus jaringan dan bantuan gol.
Musim ini, Salah terus membuktikan kecemerlangannya apabila menduduki tempat ketiga dalam senarai penjaring terbanyak dan tempat keenam dalam carta bantuan gol sepanjang zaman Liverpool. Setakat musim 2024/25, beliau telah menjaringkan 32 gol dan mencatat 22 bantuan gol dalam 45 perlawanan.
Dengan Liverpool berada di landasan untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris musim ini, Salah dijangka menambah satu lagi trofi ke dalam koleksi peribadinya dan turut tersenarai sebagai calon utama bagi anugerah Ballon d’Or 2025. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram