
SEORANG lagi bakat muda negara mencipta sensasi di luar negara apabila pemain tengah masa depan Malaysia, Hanz Skelchy sah menyertai kelab Jerman iaitu VfR Wormatia Worms II yang beraksi dalam saingan Landesliga, divisyen keenam bola sepak Jerman.
Hanz sebelum ini mencuri perhatian rakyat Malaysia apabila membintangi filem tempatan 'Anak Rimau The Movie' pada 2022 namun tumpuan terhadap anak muda berbakat ini tidak terhenti di layar perak apabila dia terus menempah nama di pentas bola sepak Eropah.
Menurut perkongsian daripada Harimau Abroad dan Destiny FDC, pemain memulakan pengembaraannya di Jerman bersama skuad B-19 Pirmasens, sebelum bakatnya dihidu beberapa kelab lain.
BACA LAGI: Legenda Selangor ucap tahniah buat Indonesia, sempat 'tegur' pelan bola sepak negara
BACA LAGI: Semarakkan bola sepak wanita, Selangor FC pertama kali tubuh 2 pasukan bagi WSL 2025
Tahun lalu, pemain berusia 20 tahun berkenaan mengambil keputusan untuk menyertai SpVgg Ketsch iaitu satu lagi kelab pembangunan di negara tersebut.
Kini, langkah lebih besar diambil apabila Hanz ditawarkan peluang beraksi bersama VfR Wormatia Worms II. Kehadirannya disambut baik bukan sahaja oleh kelab, malah turut menarik perhatian peminat bola sepak tanah air.
Menariknya, adik kepada Hanz iaitu Kyle Joshua Skelchy turut mengikut jejak langkah abangnya apabila kini bersama pasukan VfR Mannheim U19 menjadikan keluarga Skelchy antara penyumbang penting kepada legasi bola sepak Malaysia di Eropah.
Hanz bukanlah asing kepada bola sepak tempatan susulan pada 2019, dia pernah menyarung jersi skuad muda negara dalam kejohanan Soong Ching Ling Cup, satu pencapaian yang menjadi bukti kepada potensinya.
Selain Hanz, beberapa lagi pemain muda negara turut melebarkan karier di Jerman seperti pertahanan skuad B-23 kebangsaan, Annil Vigneswaran mencerminkan perkembangan positif dalam pembangunan bakat Malaysia di peringkat antarabangsa.
Peminat bola sepak tempatan kini menaruh harapan agar Hanz terus menyerlah di pentas Jerman dan suatu hari nanti kembali memperkuatkan skuad kebangsaan dengan pengalaman luar biasa dari Eropah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram