Tiada tempat dalam Perak, tahu-tahu bek Seladang turun pangkat main Liga M3


  • Podium
  • Rabu, 05 Jun 2024

Raja Imran (dua dari kiri) merekodkan 19 perlawanan domestik bersama skuad Seladang. — Facebook/PerakFC

SAINGAN Liga A1 Semi-Pro MBSB Bank 2024/2025 sudah membuka tirainya pada awal Jun ini dengan menyaksikan beberapa pasukan dari musim lepas dan ada juga pendatang baharu turut serta memberikan cabaran.

Pendatang baru Liga A1 Semi Pro iaitu Bunga Raya (BR) Damansara FC antara yang meninggalkan impak positif pada aksi debut mereka apabila mencatat kemenangan besar 4-0 menewaskan Harini FC.

Pasukan yang dibimbing P. Gunalan dilihat mempamerkan aksi lebih cemerlang berbanding Harini FC kerana berhasil mencetak empat jaringan dalam masa 20 minit terakhir, sekali gus memastikan tiga mata penuh menjadi milik mereka.

BACA LAGI: [VIDEO] Kini di puncak karier, tapi Raja Imran sudah ada pelan lepas gantung but

BACA LAGI: Selepas Raja Imran Shah, 2 nama bakal jadi pelengkap benteng Perak FC

BR Damansara bukan sekadar kelab biasa-biasa atau pasukan pelengkap jadual apabila beberapa pemain pasukan berkenaan berlatarbelakangkan pengalaman dari kelab Liga Super seperti R. Kogileswaran.

Selain Kogileswaran, Raja Imran Shah yang sebelum ini beraksi untuk Perak FC juga antara nama besar yang memperkuatkan BR Damansara pada saingan Liga A1 Semi-Pro MBSB Bank musim ini.

Kelibat Raja Imran yang diturunkan sebagai kesebelasan utama BR Damansara dalam aksi menentang Harini itu menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penyokong mengenai statusnya bersama skuad The Bos Gaurus (TBG).

Masakan tidak, meskipun bek tengah itu dilihat sudah didaftarkan sebagai pemain baharu BR Damansara berdasarkan laman Transfermarkt namun tiada pengumuman rasmi daripada skuad Seladang mengenai perpindahannya.

Tidak dinafikan sebelum ini pemain berusia 26 tahun berkenaan pernah menyatakan hasrat untuk berhijrah ke pasukan lain kerana ingin mendapatkan minit permainan yang banyak.

WhatsApp Image 2024-06-05 at 11.10.08

Tangkap layar hantaran dari Raja Imran di Instagram peribadinya. — Instagram/RajaImran

Pasukan seperti Kuala Lumpur (KL) City, PDRM FC dan Negeri Sembilan FC dikatakan antara pasukan berminat mendapatkan khidmat Produk Akademi PKNS FC berkenaan secara pinjaman.

Rundingan bersama tiga kelab berkenaan sepertinya tidak berhasil sehingga memaksa Raja Imran untuk turun pangkat ke saingan Liga A1 Semi-Pro atau dikenali sebagai Liga M3 bagi menyertai BR Damansara.

Untuk rekod, Raja Imran tiba di Perak FC pada awal musim 2023 dengan menandatangani kontrak selama dua tahun namun nasib tidak menyebelahinya apabila kurang mendapat tempat dalam skuad TBG.

Pemain tinggi lampai itu hanya merekodkan 19 perlawanan domestik bersama skuad Seladang dan 17 daripadanya adalah ketika aksi Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram