
KEMENANGAN besar Sri Pahang FC ke atas Kedah Darul Aman FC dalam saingan Liga Super 2024 baru-baru ini menimbulkan persoalan adakah Tok Gajah sudah bersedia untuk beraksi di final Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta'zim (JDT).
Walaupun kemenangan 6-0 ke atas Kedah dilihat sebagai pencapaian hebat, ia masih belum mencerminkan persiapan sebenar Sri Pahang untuk berdepan gergasi liga tersebut.
Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berpendapat bahawa kemenangan besar itu bukanlah penanda aras yang mencukupi untuk memastikan pasukan Tok Gajah sudah cukup bersedia menghadapi JDT di final Piala Malaysia pada 26 April nanti.
BACA LAGI: [VIDEO] Rembatan kencang Liridon meliar, rupanya ada mesej tersembunyi
BACA LAGI: [VIDEO] Bolos 6 gol, fans Sang Kenari puji semangat juang Ifwat Akmal selamatkan penalti Hidalgo
Sri Pahang bangkit menebus dua kekalahan memalukan dalam saingan liga dengan meraih kemenangan besar ke atas KDA FC. — Facebook/Sripahangfc
Pekan percaya masalah dalaman yang dihadapi Kedah, seperti hutang gaji tertunggak, ketiadaan pemain import serta semangat motivasi yang rendah menjadi faktor utama kekalahan memalukan tersebut.
"Kita tak boleh jadikan kemenangan besar Sri Pahang ke atas sebagai penanda aras bahawa skuad Tok Gajah sudah betul-betul bersedia untuk cabaran final Piala Malaysia menentang JDT.
"Lagipun mereka menang dengan pasukan yang sedang tenat dalam Liga Super di tempat ketiga tercorot dan sedang dibelenggu dengan masalah hutang gaji tertunggak.
"Ketiadaan pemain impot serta semangat motivasi pemain yang sangat rendah. Mereka seolah-olah sudah tidak sabar dan berasa sangat sengsara untuk menamatkan musim ini," katanya kepada Majoriti.
Sergio Aguero (kanan) mencetak dua gol bagi membantu Sri Pahang meraih kemenangan besar di Staidum Temerloh. — Facebook/Sripahangfc
Menurut Pekan, walaupun kemenangan itu mampu memberi suntikan semangat kepada pemain Sri Pahang, ia tidak boleh dijadikan ukuran sebenar persiapan mereka.
Beliau turut menyatakan bahawa kemenangan itu mungkin memberi sedikit kelegaan kepada Ketua Jurulatih Sri Pahang, Fandi Ahmad yang sebelum ini terpaksa menelan kekalahan memalukan kepada Terengganu FC dan Kuching City FC.
"Saya tidak nafikan ia mungkin membangkitkan sedikit semangat pemain kerana persembahan Sri Pahang begitu tidak bermaya apabila tewas 1-5 kepada Terengganu dan 0-2 kepada Kuching City walaupun menang 3-1 ke atas PDRM FC pada 8 mac lalu.
"Bagi saya situasi ini paling melegakan Fandi Ahmad sebab dia dilihat agak tertekan dengan prestasi Sri Pahang yang terumbang-ambing sedangkan final semakin dekat," ujarnya.
Sri Pahang diingatkan agar tidak memandang remeh cabaran JDT, yang pastinya tidak mahu mencemarkan rekod cemerlang mereka musim ini. — Facebook/JST
Walaupun begitu, Pekan mengingatkan bahawa Sri Pahang tidak boleh terlalu cepat berpuas hati, memandangkan JDT akan beraksi dengan semangat yang tinggi untuk mempertahankan rekod tanpa kalah mereka musim ini.
"Pada perlawanan akhir sudah pasti kedua-dua pasukan bersemangat tinggi. Bukan Sri Pahang sahaja tetapi lawan mereka JDT pun begitu juga.
"Tambahan pula sudah tentu JDT tidak mahu rekod tanpa kalah mereka musim ini tercemar atau tercalar.
"Justeru, banyak lagi yang perlu dimantapkan oleh skuad Tok Gajah terutama ketiadaan penyerang utama Kpah Sherman dan Manuel Hidalgo nanti pasti begitu dirasai," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram