Tiada lagi 'national call', pemain kacukan JDT, KL dan Pahang semakin lenyap dari HM


  • Podium
  • Rabu, 26 Mac 2025

Jones (kanan) sering diberi peranan sebagai pertahanan kiri atau tengah dalam beberapa perlawanan antarabangsa.—Facebook/FAM

REVOLUSI Harimau Malaya yang dicetuskan Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim disambut baik oleh penyokong tanah air dengan rata-ratanya yakin ia akan memberi satu perjalanan baharu untuk skuad kebangsaan.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi kepercayaan kepada pengendali dari Australia, Peter Cklamovski mengemudi pasukan negara dengan dia diumumkan sebagai ketua jurulatih pada Disember lepas.

Diberi mandat untuk membawa Malaysia ke tahap lebih tinggi, pengendali berusia 46 tahun itu dijangka menerapkan falsafah bola sepak menyerang berintensiti tinggi, yang menjadi identiti pasukannya.

BACA LAGI: 'Malas bising-bising', TMJ sahkan Hector Hevel bintang warisan HM

BACA LAGI: Senasib Jimmy Raymond, 3 wira Piala AFF terlepas bertemu Nepal

Selain kehadiran Cklamovski dan beberapa individu lain di peringkat pengurusan, skuad kebangsaan juga menerima kudrat dua pemain warisan baharu iaitu Hector Hevel dan Gabriel Palmero. 

Bercakap mengenai pemain warisan yang tiba ini, ia mengingatkan bahawa kehadiran mereka berkemungkinan akan menutup peluang untuk menyaksikan warisan lain untuk menyarung jersi skuad kebangsaan. 

Faktor usia, kecergasan serta prestasi semasa di peringkat kelab dipercayai menjadi punca utama pemain-pemain yang pernah bersama Harimau Malaya, kini tidak lagi berada dalam perancangan pasukan kebangsaan.  

Kali ini, Majoriti menyenaraikan tiga pemain warisan pernah menyarung jersi skuad kebangsaan;

1) Khair Jones

Jones ketika menjaringkan gol menentang Timor Leste pada 2016. —Facebook/FAM

Nama pemain warisan New Zealand-Malaysia, Khair Jones pernah mewarnai skuad Harimau Malaya sebagai salah seorang tonggak pertahanan yang diberi peluang untuk menyarung jersi kebangsaan. 

Pemain kelahiran New Zealand tersebut mula dipanggil untuk mewakili Malaysia pada 2016 di bawah kendalian jurulatih Datuk Ong Kim Swee dengan aksi menentang Timor Leste pada kelayakan Piala Asia 2016 merupakan debutnya. 

Sepanjang bersama Harimau Malaya, Khair Jones sering diberi peranan sebagai pertahanan kiri atau tengah dalam beberapa perlawanan antarabangsa. Bekas pemain Sarawak United itu hanya merekodkan tiga penampilan untuk skuad kebangsaan. 

Hal ini kerana, faktor kecederaan dan kekurangan minit permainan di peringkat kelab menyebabkan namanya semakin tersisih daripada senarai utama skuad negara. Selain, persaingan sengit dalam posisi pertahanan juga menjadi faktor utama Khair tersisih. 

Kini, pemain yang mencetak satu gol untuk Harimau Malaya itu tidak lagi mendapat panggilan negara. Di peringkat kelab pula, aksi bersama Kuala Lumpur City FC pada musim 2023 merupakan kali terakhir kelibatnya kelihatan. 

2) David Rowley 

Rowley (kiri) melakukan debutnya pada 2022. —Facebook/FAM

Pemain warisan Australia-Malaysia, David Rowley yang memiliki darah keturunan Malaysia melalui ibunya, dipanggil menyertai skuad kebangsaan pada tahun 2022 ketika era kendalian Kim Pan-gon.  

Sepanjang bersama Harimau Malaya, pemain tengah itu beraksi dalam beberapa perlawanan seperti aksi antarabangsa menentang Kemboja serta Mardives dan Rowley juga diberi kepercayaan untuk mewakili Malaysia dalam saingan Piala AFF 2022. 

Namun, persaingan sengit di bahagian tengah serta kehadiran pemain tempatan yang lebih konsisten seperti Stuart Wilkin dan Endrick dos Santos menyukarkan dirinya untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama. 

Selepas beberapa bulan bersama skuad negara, pemain berusia 35 tahun itu tidak lagi dipanggil untuk memperkuatkan Harimau Malaya lagi-lagi kini Harimau Malaya menerima satu lagi pemain tengah baharu iaitu Hevel. 

Untuk perkembangan peringkat kelab pula, Rowley masih setia bersama Sri Pahang FC sejak musim 2022 dan dia juga membantu Tok Gajah mara ke final Piala Malaysia 2025 bagi menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 26 April nanti. 

3) Junior Eldstal 

Junior antara pemain warisan terawal menyarung jersi kebangsaan. —Facebook/FAM

Bek tengah kacukan Sweden-Malaysia. Junior Eldstal pernah menjadi antara tonggak utama skuad Harimau Malaya di bahagian pertahanan setelah diberikan peluang untuk mewakili Malaysia pada tahun 2014. 

Sejak diberi kepercayaan oleh Kim Swee untuk melakukan debut untuk tempoh 90 minit pada aksi persahabatan menentang Filipina pada April 2014, Junior terus mendapat tempat dalam beberapa kejohanan penting termasuk Piala AFF dan kelayakan Piala Dunia. 

Namun, kecederaan yang berulang serta penghijrahannya ke liga luar negara menjejaskan tempatnya dalam skuad Harimau Malaya. Junior kembali mendapat panggilan negara selepas Kim Pan-gon mengambil alih jawatan ketua jurulatih. 

Kali terakhir bek berusia 33 tahun itu merekodkan penampilan bersama Harimau Malaya pada Piala Asia 2023 dengan aksi menentang Korea Selatan menjadi kenangan terakhirnya menyarung jersi skuad kebangsaan. 

Faktor usia dan jarang mendapat minit permainan bersama Harimau Selatan di peringkat kelab, sukar untuk Junior menarik minat Cklamovski untuk memanggilnya ke kem Harimau Malaya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram