
KEHADIRAN Ruben Amorim sebagai pengendali Manchester United sejak November lalu tidak mengubah nasib pasukan itu yang terus bergelut untuk mendaki carta Liga Perdana Inggeris (EPL).
Mereka yang kini menduduki tangga ke-13 selepas 30 perlawanan perlu mencari magis tersendiri untuk berada dalam kelompok 10 pasukan teratas dengan misi tersebut semakin sukar direalisasikan.
Malah, bagi Amorim, perubahan terhadap prestasi pasukan memerlukan masa lama dengan dia menegaskan pelbagai usaha sedang giat dilakukan untuk mengubah nasib The Red Devils di atas padang.
BACA LAGI: Bruno Fernandes takkan ke mana-mana — Ruben Amorim
BACA LAGI: Amorim sedia sambar 'winger' EPL, mahu tawar kontrak 6 tahun
Pengurus kelahiran Portugal tersebut menegaskan penyokong tidak boleh meletakkan harapan tinggi bagi musim depan kerana hasil diharapkan tidak akan tiba semudah apa yang diharapkan.
"Banyak perkara sedang kami usahakan, termasuk menaikkan standard pasukan. Kadang kala, kita melakukan perubahan terhadap pemain untuk memastikan mereka menepati tahap diletakkan.
"Saya tahu ia adalah sukar untuk melihat hasil dalam hanya setahun. Saya tidak mahu katakan kita akan menjuarai EPL tahun depan, saya masih waras. Kita sedang berusaha keras dan mahu bangkit musim depan, itulah cita-cita saya," katanya.
Jika tiada sebarang perubahan positif disaksikan memasuki penghujung kempen, ia akan menjadi kedudukan terburuk Manchester United dalam sejarah peribadi mereka.
Mengikut rekod sejak EPL ditubuhkan, kedudukan tercorot pernah diduduki skuad The Red Devils adalah pada musim lalu setelah mereka berada di tangga kelapan dengan hanya 60 mata direkodkan.
Amorim menyedari pelbagai usaha perlu dilakukan untuk menjuarai EPL pada musim-musim akan datang.
Jadi, Amorim pasti mahu mengelakkan rekod itu diulangi dengan mereka tidak boleh mencicirkan sebarang mata dalam lapan perlawanan terakhir jika tidak mahu mengalami musim lebih buruk.
"Saya tahu kita tidak akan menjadi pencabar utama tahun depan mahupun dua tahun lalu. Saya tahu banyak perkara perlu dilakukan dan kita sedang melakukannya dengan sedikit terburu-buru.
"Apa yang saya mahu elakkan adalah pemikiran mengatakan kita perlu bermusim-musim lamanya untuk memberi cabaran. Saya tidak boleh berfikiran sedemikian," katanya lagi.
Sejak mengendalikan Manchester United, Amorim hanya merekodkan enam kemenangan dalam 19 aksi EPL dengan sembilan kekalahan dialami sepanjang tempoh berkenaan.
Meskipun rekod kurang baik dialami di peringkat domestik, pengurus berusia 40 tahun itu masih berpeluang membuktikan kebolehannya sekiranya berjaya membantu skuad The Red Devils menjuarai Liga Europa UEFA (UEL). — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram