Bukan 100 peratus produk AMD, Arif Aiman lahir hasil bimbingan JDT


  • Podium
  • Ahad, 06 Apr 2025

Arif Aiman merupakan graduan dari Akademi Johor Darul Ta'zim. — Facebook/JST

NAMA bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi kini menjadi sebutan dalam bola sepak Malaysia selepas prestasinya yang cemerlang dan dikatakan sebagai produk dari Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

Namun, ramai yang tidak mengetahui bahawa pemain sayap Harimau Selatan itu sebenarnya bukanlah hasil keluaran AMD seperti yang disangka oleh ramai pihak.

Sebaliknya, Arif Aiman merupakan graduan dari Akademi Johor Darul Ta'zim (JDT), yang telah memberi peluang dan sokongan yang tidak dapat diberikan oleh AMD.

BACA LAGI: Anak jati Sarawak termasuk bintang JDT-TBG kini dalam radar kelab Borneo musim depan

BACA LAGI: 'Nama besar, hidup tak berlagak', Arif Aiman raih pujian kekal bersederhana

Menerusi perkongsian Bola Serantau di laman Facebook, pada awalnya, Arif Aiman tidak diberi peluang untuk bermain ketika berada di AMD.

“Arif Aiman tidak pernah merasai minit perlawanan di bawah bimbingan pengendali ketika itu, Lim Teong Kim dengan alasan saiz fizikalnya dianggap tidak mencukupi.

“Namun, nasibnya berubah apabila dia memilih untuk menyertai Akademi JDT, yang mana dia diberikan kepercayaan dan peluang tanpa diskriminasi.

“Bersama Akademi JDT, Arif Aiman dilatih dan diuji melalui persaingan yang sangat kuat, yang mana dia berhadapan dengan pemain import dan pemain senior yang berpengalaman.

“Bukan itu sahaja, dengan pemakanan yang terjaga dan latihan yang intensif, prestasinya melonjak ke tahap yang lebih tinggi, menjadikannya sebagai tonggak utama untuk JDT dan Harimau Malaya,” katanya.

Kisah Arif Aiman adalah contoh yang jelas bahawa bakat sebenar hanya akan muncul apabila seseorang pemain diberikan peluang yang adil.

“Jika Arif kekal di AMD, mungkin kita tidak akan melihat pencapaiannya yang luar biasa seperti sekarang.

“Kini, Arif Aiman menjadi bukti bahawa sistem yang memberi peluang kepada setiap pemain dapat melahirkan bintang-bintang hebat,” tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram