Cabar diri berpuasa, legenda Bujang Senang terkenang momen manis raikan Aidilfitri di Terengganu


  • Podium
  • Khamis, 03 Apr 2025

Joseph Kalang Tie (kiri) yang juga merupakan bekas pemain Harimau Malaya itu kini bertugas sebagai pembantu jurulatih dalam skuad muda Kuching City FC. — Facebook/JosephKalang

MENJELANG Aidilfitri, setiap individu pasti merayakan perayaan berkenaan bersama keluarga dan orang tersayang di kampung halaman dengan masa diluangkan itu cukup bermakna.

Suasana lebaran menjadi lebih meriah dengan ahli keluarga yang berkumpul dan bergotong-royong memastikan kelengkapan Hari Raya sempurna, baik dari segi hiasan mahupun juadah.

Kemeriahan itu juga dirasai bagi mereka yang tidak meraikannya kerana berpisah daripada sanak-saudara atau mempunyai pegangan agama serta budaya berbeza.

BACA LAGI: 'Liga tak stabil, peluang terhad', jurulatih veteran anggap rugi Piala MFL dimansuhkan

BACA LAGI: Kos RM28 juta terlalu tinggi, kelab-kelab Liga Super setuju mansuhkan Piala MFL

Joseph Kalang ketika meraikan Hari Raya bersama skuad Selangor FC. Instagram/joseph_kalang8

Antara yang pernah menikmati pengalaman itu ialah bekas pemain kebangsaan, Jospeh Kalang Tie yang berkesempatan meraikan perayaan Aidilfitri semasa beraksi bersama beberapa kelab tanah air.

Anak kelahiran Miri, Sarawak itu berpeluang menikmati kemeriahan tersebut meskipun berjauhan dengan keluarga semasa beraksi buat pasukan di Semenanjung, termasuk Selangor dan Terengganu.

Bagaimanapun, baginya, kenangan paling sukar dilupakan adalah ketika menjalani tempoh perayaan berkenaan semasa di Pantai Timur yang menjanjikan pengalaman berbeza.

“Di Pantai Timur, suasananya lebih terasa dengan perkampungan yang meriah, berbeza dengan Lembah Klang seperti di Selangor kerana lebih dekat dengan bandar, jadi kemeriahan Aidilfitri itu tak rasa sangat.

"Tapi seperti yang diketahui semua, kalau sambutan raya di Sarawak agak berbeza kerana memang akan berlangsung sampai sebulan," katanya kepada Majoriti.

Joseph Kalang ketika bersama rakan di Harimau Malaya. — Instagram/joseph_kalang8

Joseph yang kini berusia 38 tahun sememangnya layak diangkat sebagai antara produk terbaik bola sepak tempatan kerana kelincahannya di atas padang pernah memukau satu ketika dahulu.

Tidak cukup dengan itu, kecemerlangannya sedikit sebanyak membuka pintu buat lebih ramai anak jati Sarawak seperti Jimmy Raymond dan Shamie Iszuan untuk mengikuti langkahnya.

Berbicara tentang adat dan budaya, Joseph tidak melihat banyak perbezaan antara sambutan di Semenanjung dan Sarawak, namun masih meraikan setiap kelainan ditampilkan.

“Pada saya, budaya di Semenanjung dan Sarawak hampir sama. Kalau di Pantai Timur, hubungan kami antara antara pemain lebih erat. Kami berbuka dan berpuasa bersama, pengalaman yang tidak akan saya lupakan.

“Di Terengganu, saya sangat menghargai pengalaman berbuka, berpuasa dan merayakan Hari Raya bersama rakan-rakan. Kami saling menziarahi rumah dan kampung tanpa mengira agama. Perasaan mesra dan penghormatan antara satu sama lain sangat saya hargai,” ujarnya.

Momen manis Joseph Kalang bersama rakan di Sarawak FC ketika berbuka puasa. Instagram/joseph_kalang8

Selain berpeluang meraikan Aidilfitri, Joseph juga pernah mencabar diri untuk berpuasa bersama rakan sepasukan meskipun pegangan agama masing-masing adalah berbeza.

Pengalaman berpuasa bersama rakan-rakan Muslim memberikan Joseph pemahaman yang lebih mendalam mengenai cabaran yang dihadapi mereka, sambil mengajar dia untuk lebih menghormati orang lain yang berpuasa.

“Saya pernah berpuasa beberapa hari untuk memahami cabaran mereka yang berpuasa. Walaupun hanya beberapa hari, saya merasai kesabaran dan menghargai perbezaan agama,” katanya.

Joseph kini masih terlibat aktif dalam arena bola sepak tanah air dengan dia kini bertugas sebagai pembantu jurulatih dalam skuad muda Kuching City FC yang beraksi di Piala MFL. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram