Kos RM28 juta terlalu tinggi, kelab-kelab Liga Super setuju mansuhkan Piala MFL


  • Podium
  • Isnin, 24 Mac 2025

Pasukan Terengganu FC II meraikan kejayaan menjuarai Piala MFL musim 2023.

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan bahawa kejohanan Piala MFL tidak akan dipertandingkan pada musim 2025/2026 apabila Rakan Kongsi Liga sebulat suara bersetuju untuk memansuhkan saingan bawah 23 tahun itu.

Menurut MFL dalam satu kenyataan pada Isnin, keputusan untuk memansuhkan Piala MFL dibuat menerusi perbincangan bersama Rakan Kongsi Liga yang terdiri daripada 13 Kelab Liga Super dalam pertemuan pada 19 Februari 2025.

"Kejohanan untuk pembangunan pemain muda ini mula dipertandingkan pada 2023 dengan mendapat sokongan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang mana setiap kelab diwajibkan memiliki skuad Piala MFL bagi memenuhi salah satu kriteria dalam Pelesenan Kelab.

BACA LAGI: TFC masih berpeluang rebut tempat ke-3 liga jika Sabah, Kuching hilang mata — Akram Mahinan

BACA LAGI: We are family', Sony Norde 'support' gerai bekas rakan sepasukan di Kedah

Kejohanan Piala MFL tidak akan dipertandingkan pada musim 2025/2026. — Facebook/MFL

"Bagaimanapun selepas dua musim, MFL mendapati pihak kelab menanggung perbelanjaan tinggi dari segi pembayaran gaji pemain dan operasi logistik sehingga mencecah RM28 juta bagi kos yang ditanggung keseluruhan kelab Liga Super.

"Dengan mengambil kira pandangan semua Rakan Kongsi Liga, MFL percaya keputusan untuk memansuhkan saingan Piala MFL ini perlu diambil dalam usaha untuk mengukuhkan dan menstabilkan semula kedudukan kewangan kelab," katanya.

Begitupun, MFL dan Rakan Kongsi Liga mencapat kata sepakat bahawa pemain berusia 20 hingga 23 tahun kini mula bersaing untuk tempat dalam skuad utama, berbanding bermain di peringkat umur.

"MFL bersama Rakan Kongsi Liga juga bersetuju bahawa pada usia pemain 20 hingga 23 tahun adalah tempoh pemain muda sudah mula bersaing mendapatkan tempat dalam skuad utama berbanding bermain dalam pertandingan peringkat umur.

"Meskipun Piala MFL sudah tidak dipertandingkan lagi bermula musim depan, pembangunan pemain muda masih menjadi keutamaan dengan skuad Piala Presiden (Bawah 20 tahun) dan Piala Belia (Bawah 18 tahun) kekal bersaing dalam kejohanan anjuran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Ketiadaan liga bagi pemain bawah 23 tahun itu, MFL komited untuk terus memperkasakan satu-satunya saingan liga domestik iaitu Liga Super bagi musim 2025/2026," jelasnya lagi. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram