Jarak jauh, banjir di Johor dikatakan punca jualan tiket HM-Nepal 'sendu'


  • Podium
  • Selasa, 25 Mac 2025

Sebahagian sesi latihan akhir Harimau Malaya menjelang perlawanan penting bertemu Nepal pada Selasa. — Facebook/MalaysiaNT

PERLAWANAN kempen kelayakan Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Nepal yang dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Selasa dipercayai tidak mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada 'ekor' Harimau Malaya.

Berdasarkan tinjauan terkini, jumlah jualan tiket masih belum mencapai 3,000 keping terjual dengan kebanyakan penyokong menunjukkan kurang minat untuk hadir memberi sokongan.

Antara punca utama yang dikenal pasti adalah harga tiket terlalu mahal, lokasi stadium yang jauh dari kebanyakan penyokong dan keadaan banjir yang melanda beberapa kawasan di Johor.

BACA LAGI: Posisi terkini Dion Cools antara 3 input menarik pertembungan Malaysia-Nepal

BACA LAGI: 'Kelebihan local knowledge JDT jadi pemangkin kemenangan Harimau Malaya di SSI'

Menurut para penyokong, harga tiket sebanyak RM40 untuk golongan dewasa dianggap membebankan terutamanya menjelang musim perayaan Aidilfitri.

Ramai yang berpendapat perlawanan tersebut lebih berbaloi jika diadakan di lokasi yang lebih strategik iaitu di gelanggang keramat Harimau Malaya, Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Bagi kanak-kanak, tiket dijual pada harga RM5, namun harga tersebut dilihat tidak cukup menarik perhatian lebih ramai keluarga untuk hadir menyaksikan perlawanan.

Jumlah jualan tiket Harimau Malaya setakat ini belum mencecah 3,000 keping terjual. — Facebook/MalaysiaNT

Selain itu, kejadian banjir yang melanda beberapa kawasan di Johor juga menjadi faktor utama mengapa ramai penyokong terpaksa melupakan niat untuk hadir ke perlawanan tersebut.

Beberapa penyokong turut meluahkan rasa kecewa dan berharap agar harga tiket diturunkan supaya lebih ramai penyokong yang tidak berkemampuan dapat hadir menyaksikan perlawanan tersebut.

"Dekat Johor ramai yang terjejas banjir, jadi jangan expect stadium penuh, yang luar dari Johor mungkin boleh bantu beri sokongan," kata Rauf Hj Zahari.

"Kami orang Johor kami akui tiket RM40 terlalu mahal, dekat-dekat nak raya ini duit nak pakai banyak jadi perlu jimat, kami perlukan tiket bersubsidi barulah kami mampu," kata Muhamad Afiq Daniel.

"Orang nak raya, harga tiket pula cekik darah, memang tiadanya nak datang serbu ramai-ramai, orang sibuk nak balik raya," kata Bruce Kwa Lee.

"Cuba turunkan harga tiket, lagipun Johor tengah banjir, nak raya lagi, berat juga harga itu," kata Johrizal Ali.

Dengan situasi semasa yang agak mencabar, ramai fans berharap pihak penganjur mempertimbangkan penurunan harga tiket atau langkah lain agar lebih ramai penyokong dapat hadir menyokong Harimau Malaya dalam perlawanan penting itu.

Skuad Harimau Malaya pastinya memerlukan sokongan 'pemain ke-12' dalam memastikan skuad kebangsaan mampu memperoleh keputusan positif. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram