
KEPUTUSAN Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk memansuhkan Piala MFL mulai musim 2025/2026 mencetuskan kebimbangan mengenai masa depan pembangunan pemain muda tempatan.
Keputusan yang dipengaruhi oleh tekanan kewangan kelab dan perubahan dalam pendekatan pembangunan bakat memberi kesan besar kepada ekosistem bola sepak negara.
Piala MFL diperkenalkan pada 2023 untuk memberi pengalaman kompetitif kepada pemain Bawah-23, sejajar dengan kriteria pelesenan AFC.
BACA LAGI: Kos RM28 juta terlalu tinggi, kelab-kelab Liga Super setuju mansuhkan Piala MFL
BACA LAGI: Pembubaran Piala MFL beri ruang bakat muda cabar bintang senior
Namun, selepas dua musim, kos operasi yang mencecah RM28 juta yang terpaksa ditanggung oleh 13 kelab Liga Super menjadi faktor utama pemansuhan, dengan kelab mengadu mengenai beban kewangan akibat gaji pemain, pengurusan logistik dan jadual yang padat.
Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, Ketua Jurulatih Kelantan Red Warriors, Irfan Bakti Abu Salim menyifatkan bahawa pemansuhan Piala MFL akan merencatkan peluang pemain muda untuk terus berkembang.
Pasukan Terengganu FC II meraikan kejayaan menjuarai Piala MFL musim 2023.
"Secara umum, Piala MFL ini memang agak mencabar, kita tengok sekarang, pasukan seperti Selangor FC II, Johor Darul Ta'zim (JDT II) dan Kuching City FC II serta beberapa pasukan lain sahaja yang mampu mengendalikan pasukan tambahan dalam liga kita.
"Tetapi apabila melibatkan kewangan, hanya beberapa pasukan yang mampu bersaing, jadi, memang sukar untuk mencari pemain muda yang berkualiti untuk menggantikan pemain senior jika Piala MFL dimansuhkan.
"Dengan keadaan liga yang kurang stabil dan peluang yang terhad, sukar untuk kita menemukan bakat-bakat baru," katanya kepada Majoriti.
Menurut jurulatih veteran berusia 73 tahun, keadaan liga yang kurang stabil juga menambah kesukaran dalam mencari bakat baru untuk masa depan bola sepak tempatan.
Tambah Irfan Bakti, proses pembentukan pemain muda di Malaysia menghadapi cabaran kerana kematangan yang lambat.
"Selain itu, perkembangan bola sepak kita kini berada di tahap yang agak tidak baik, jadi, dengan kekurangan peluang ini, kita bimbang tentang masa depan bola sepak negara.
"Kita lihat sekarang ini, apabila bercakap mengenai pembentukan pemain muda, masalah utama adalah soal maturity atau kematangan yang lambat.
"Sepatutnya, dari peringkat Piala Presiden dan Piala Belia, beberapa pemain muda sudah bersedia untuk bermain di peringkat senior tetapi ia mengambil masa yang lebih lama.
"Proses ini agak sukar untuk mencari pemain muda yang bersedia untuk bergerak ke peringkat senior tanpa terlebih dahulu beraksi dalam MFL atau kelab yang lebih besar," jelasnya lagi.
Ketua Jurulatih Kelantan Red Warriors, Irfan Bakti Abu Salim.
Susulan itu, Irfan Bakti menegaskan pemansuhan Piala MFL merupakan satu kerugian besar bagi bola sepak tanah air kerana ia menghalang perkembangan pemain muda.
Hal ini kerana, situasi itu menyukarkan usaha mencari bakat baharu dan membawa mereka ke tahap yang lebih tinggi.
"Dengan kekurangan peluang dalam Piala MFL ini, ia adalah satu kerugian besar bagi kita.
"Ini memberi kesan besar terhadap masa depan bola sepak negara kita, kerana perkembangan yang sepatutnya berlaku, tidak berjalan dengan baik.
"Jadi, dengan situasi ini, memang sukar untuk kita mencari bakat muda dan membawa mereka ke tahap yang lebih tinggi. Itu saja yang boleh saya kongsikan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram