Liga Super hilang seri tanpa Kedah, Pahang — Zainal


  • Podium
  • Rabu, 19 Mac 2025

KDA FC dan Sri Pahang FC merupakan dua kelab tanah air yang memiliki sejarah tersendiri. — Facebook/KDA FC

PERSOALAN mengenai nasib Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Sri Pahang FC dalam Liga Super musim depan terus menghantui penyokong kedua-dua kelab selepas terdapat khabar angin mereka tidak akan bersaing musim depan.

Ura-ura itu timbul berikutan isu pengurusan yang semakin kritikal berikutan kegagalan meraih sumber pendapatan kukuh sehingga menyaksikan pemain tidak dibayar gaji untuk beberapa bulan.

Khabar angin tersebut diperkuatkan dengan kenyataan pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menzahirkan perasaan simpati terhadap dua kelab penuh bersejarah itu.

BACA LAGI:‘Zainal Abidin, Dollah Salleh arif selok-belok dunia bola sepak’

BACA LAGI:Dollah Salleh, Zainal Abidin sah sertai keluarga FAM

Zainal mengharapkan pihak pengurusan kedua-dua kelab itu dapat menyelesaikan isu dialami.

Meskipun perkara tersebut belum disahkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), penyokong KDA FC dan Sri Pahang FC sudah bersedia dengan kemungkinan itu sambil mula menunding jari ke arah sikap culas pihak pengurusan.

Malah, bagi legenda Pahang, Datuk Zainal Abidin Hassan, ketiadaan kedua-dua kelab berkenaan akan menyebabkan saingan Liga Super semakin sendu pada tahun-tahun akan datang.

"Kita hanya boleh berdoa dan harapkan dua kelab elit itu untuk menyelesaikan masalah dan terus kekal dalam liga. Kehadiran mereka sememangnya dapat menjadikan Liga Super lebih baik. Tanpa kedua-dua pasukan itu, ia akan menjadi kerugian," katanya.

Setakat ini, hanya KDA FC sudah mengeluarkan kenyataan berhubung perkara berkenaan dengan pemilik kelab, Tan Sri Mohd Daud Bakar menegaskan pihaknya akan terus berusaha untuk memastikan kelangsungan pasukan.

Daud Bakar menegaskan pihaknya akan terus berusaha demi mencari jalan penyelesaian terbaik. — Facebook/KDA FC

Pihak atasan Sri Pahang FC pula hanya berdiam diri setakat ini dengan penyokong kelab Pantai Timur tersebut mula bersedia sekiranya perlawanan akhir Piala Malaysia 2024/25 merupakan aksi terakhir mereka dalam kancah bola sepak tempatan.

"Bagi Pahang, saya hanya mengharapkan supaya pemain memberi sepenuh tumpuan terhadap final Piala Malaysia dan biarkan badan pengurusan menyelesaikan segala masalah," kata Zainal lagi.

Zainal yang kini berada dalam Jawatankuasa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mempunyai hubungan rapat dengan pasukan Pantai Timur berkenaan kerana pernah bergelar pemain pasukan itu pada 1980-an dan 1990-an.

Tidak cukup dengan itu, dia juga pernah membantu skuad Tok Gajah bergelar pasukan elit tanah air dengan menjulang Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Sumbangsih pada 2014.

Jadi, Zainal pasti mengharapkan perlawanan akhir Piala Malaysia tahun ini akan meninggalkan legasi besar Sri Pahang FC yang akan berdepan JDT di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 12 April depan. — The Star/T AVINESHWARAN

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram