'Bukan sahaja naikkan prestasi HM, fasiliti canggih JDT boleh tarik minat pemain warisan'


  • Podium
  • Ahad, 30 Mac 2025

Skuad kebangsaan diberikan peluang berlatih di pusat latihan JDT yang memiliki fasiliti serba lengkap.

AKSI debut pemain tengah warisan, Hector Hevel bersama skuad kebangsaan menerima respons baik daripada peminat bola sepak apabila dia membantu kemenangan ke atas Nepal pada 25 Mac lalu.

Kejayaan mencetak jaringan dalam perlawanan itu selain tenang sepanjang melakukan hantaran menjadikannya tonggak baharu Harimau Malaya dalam misi negara layak ke Piala Asia 2027.

Bagaimanapun, baru-baru ini, pemain Portimonense SC tersebut mencuri respons apabila pengguna media sosial memintanya untuk tidak menerima tawaran Johor Darul Ta'zim (JDT).

BACA LAGI: [VIDEO] Hector Hevel bukan scam, gameplay Cklamovski ala-ala JDT bukti revolusi beri sinar baharu

BACA LAGI: Taktikal Peter Cklamovski lawan Vietnam penentu skuad Harimau Malaya rombak atau kekal — Reduan Abdullah

Hector Hevel beraksi cemerlang dalam penampilan pertamanya bersama Harimau Malaya. — Facebook/FAM

Gesaan itu dilakukan kerana sebahagian penyokong tidak mahu menyaksikan bakatnya terpadam sementara mahukannya kekal di Eropah demi perkembangan kariernya sendiri.

Namun, Hector Hevel tampil memberi jawapan dengan mengatakan peluang berlatih bersama skuad Harimau Selatan menjadikannya terbuka untuk beraksi buat skuad kebangsaan.

Pemain berusia 28 tahun terbabit juga sempat memuji keunggulan JDT dengan meletakkannya dalam kalangan antara pasukan terbaik di Asia kerana sudah bermusim-musim beraksi dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite.

Hal itu sekali gus menimbulkan persoalan sama ada pemain warisan yang bakal menyertai Harimau Malaya pada masa akan datang untuk berlatih bersama skuad Harimau Selatan dalam usaha memujuk mereka menyertai pasukan negara.

Hector Hevel mengakui peluang berlatih di pusat latihan JDT mempengaruhinya.

Pandangan berkenaan turut disokong pemerhati bola sepak tempatan, Afiq Rowley yang beranggapan peluang berlatih menggunakan fasiliti serba canggih JDT akan menyajikan pengalaman berbeza.

"Pada pandangan saya, ia memang patut melihat kepada kemudahan yang mereka miliki selain pengaruh boleh dibawa di pentas Asia. Jadi, tidak hairan sekiranya pemain warisan dari Eropah berminat untuk hadir.

"Oleh itu, saya beranggapan pemilik pasukan, Tunku Ismail Sultan Ibrahim boleh menggunakan langkah sama dengan menawarkan apa yang dimiliki dalam menarik minat mereka," katanya kepada Majoriti.

Selain Hector Hevel, beberapa pemain warisan lagi akan mewakili Harimau Malaya pada masa akan datang kerana teruja akan revolusi mahu diterapkan Tunku Ismail dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Kemenangan ke atas Nepal membuktikan hasil daripada sesi latihan singkat skuad kebangsaan. — Facebook/FAM

Malah, pemilik skuad Harimau Selatan itu turut menyatakan seramai tujuh lagi pemain akan disenaraikan dengan impak semua mereka akan membawa impak besar terhadap skuad kebangsaan.

Tambah Afiq Rowley lagi, kemudahan dan fasiliti serba lengkap dimiliki JDT bukan sahaja dapat menarik minat pemain warisan baharu kerana ia juga dapat membawa kesan hebat terhadap skuad kebangsaan secara keseluruhan.

"Ini merupakan satu inisiatif baik yang diambil kerana dengan fasiliti berada di pusat latihan mereka, semua pemain akan menikmati manfaat lengkap dalam pelbagai aspek seperti sains sukan dan padang latihan baik.

"Kita dapat lihat walaupun dalam tempoh singkat sebelum ini, kita dapat saksikan impak cukup baik untuk skuad kebangsaan. Hasil daripadanya juga dapat kita nilai kerana Peter Cklamovski hanya mempunyai seminggu untuk sesi latihan, tetapi membawa kesan cukup hebat," katanya lagi. —Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram