[VIDEO] Ada terlepas pandang, aksi tarik kaki Corbin Ong, Faisal dipeluk antara 3 insiden 'manis' aksi Malaysia-Nepal


  • Podium
  • Sabtu, 29 Mac 2025

Gelagat pemain Nepal yang cuba merantai Corbin Ong dalam aksi di SSI telah menarik perhatian peminat bola sepak negara.

SKUAD Harimau Malaya memulakan aksi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 dengan bergaya apabila mudah menewaskan Nepal 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor Selasa lalu.

Kejayaan mengutip tiga mata itu memberi kelegaan buat Peter Cklamovski bagi perlawanan pertamanya sejak dilantik sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya, Disember lalu.

Stadium Sultan Ibrahim menjadi saksi apabila dua kali gelanggang keramat Johor Darul Ta'zim itu bergema dengan sorakan penyokong, hasil gol yang disumbat oleh anak-anak buah Cklamovski.

BACA LAGI: 'Terlalu bergantung bukti KDA FC bukanlah kelab yang profesional'

BACA LAGI: Bola sepak Malaysia masih jauh dari tahap profesional, ibarat 'penutup' buat pemain tempatan — Bobie Farid

Dua gol berharga itu disumbangkan oleh pemain warisan baharu, Hector Hevel pada minit ke-29 dan tonggak Harimau Selatan, Corbin Ong (m-70).

Pastinya kemenangan itu menjadi pembakar semangat buat skuad Harimau Malaya dalam menghadapi cabaran seterusnya dalam menghadapi Vietnam yang dijadualkan pada 10 Jun nanti.

Bagaimanapun, tahukah anda bahawa terdapat tiga kejadian manis dalam pertembungan menarik tersebut?.

Oleh itu, Majoriti menyenaraikan tiga kejadian yang mungkin terlepas pandang oleh penyokong tanah air.

1. Kaki Corbin Ong ditarik

Gelagat seorang pemain Nepal yang cuba merantai Corbin Ong dalam aksi di SSI telah menarik perhatian peminat bola sepak negara.

Insiden itu dipercayai berlaku dalam separuh masa pertama apabila Corbin dilihat cuba mencari peluang untuk melakukan hantaran ke dalam kotak penalti The Gorkhalis.

Namun, percubaan tonggak JDT itu cuba dihalang oleh pemain tengah Nepal, Ayush Ghalan yang menyebabkan pemain Macchindra itu terjatuh.

Walaupun telah jatuh, Ghalan dilihat memegang kaki Corbin untuk menghalangnya melepaskan diri.

Susulan itu, pengadil Jepun, Hiroki Kasahara tidak teragak-agak melayangkan kad kuning kepada pemain berusia 21 tahun itu.

2. Siaran gol Hevel tergendala

Siapa sangka, baru sahaja membuat debut bersama skuad kebangsaan, pemain warisan baharu, Hector Hevel berjaya mencetak gol pertamanya bersama Harimau Malaya.

Setelah berhempas-pulas di atas padang, gol yang dinanti-nantikan oleh penyokong Harimau Malaya akhirnya tiba pada minit ke-29 menerusi jeneral tengah kelahiran Belanda itu.

Namun, amat mengecewakan bagi seluruh penyokong tanah air yang menonton perlawanan tersebut di televisyen apabila jaringan sulungnya bersama Harimau Malaya 'hilang' dalam rakaman perlawanan akibat masalah teknikal.

Walau bagaimanapun, hasil rakaman daripada penyokong yang hadir di SSI akhirnya mengubati kekecewaan penyokong yang dapat merakam dengan jelas jaringan pemain kelahiran Belanda itu.

Manisnya gol itu, pemain berusia 28 tahun berkenaan dilihat melepaskan rembatan dari luar kotak penalti ke arah gawang The Gorkhalis.

Sepakan pemain tengah Portimonense itu terlebih dahulu terkena badan penyerang JDT, Romel Morales sebelum menerjah jaring.

3. Cklamovski peluk Faisal Halim

Kepulangan pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim ke dalam skuad kebangsaan meninggalkan kesan mendalam dalam kalangan penyokong tanah air.

Mana tidaknya, tonggak berusia 26 tahun itu tidak dipanggil menyertai skuad kebangsaan sejak kali terakhir beraksi pada bulan Mac tahun lalu, selepas menjadi mangsa simbahan asid.

Namun, manisnya aksi tersebut, Faisal atau lebih mesra dipanggil Mickey diturunkan pada babak kedua bagi menggantikan Dion Cools.

Dalam situasi itu, Mickey sempat dipeluk oleh Cklamovski, yang mengingatkan penyokong mengenai pengendali terdahulu, Kim Pan-Gon yang turut memeluk tonggak Gergasi Merah itu sebelum turun beraksi di atas padang.

Lebih mengharukan, sebelum turun beraksi bertemu Nepal, Mickey berkongsi bahawa Cklamovski sempat berpesan agar dia melakukan yang terbaik dan membanggakan keluarga dengan peluang yang diberikan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram