
SELANGOR FC sekali lagi berjaya melayakkan pasukan ke kejohanan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2) selepas mengesahkan kedudukan mereka sebagai naib juara saingan Liga Super pada 8 Mac lalu.
Kemenangan besar skuad Gergasi Merah 7-0 ke atas Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) mengesahkan tiket mereka ke Asia sekali lagi selepas gagal melepasi peringkat kumpulan ACL 2 pada musim ini.
Tiket ke pentas Asia itu sekurang-kurangnya dapat menyembuhkan hati penyokong Gergasi Merah yang kecewa tidak dapat menyaksikan Selangor berhasil membawa satu piala berprestij pada musim 2024/2025.
BACA LAGI: [VIDEO] Pernah beraksi di Juventus, Selangor hampir bawa Han Kwang-song sarung jersi Gergasi Merah
BACA LAGI: Tiba masa Selangor cari CEO baharu ikut jejak JDT yang sudah berjaya?
Satu-satunya piala yang ditambah di kabinet Selangor FC ialah trofi Piala Cabaran, selepas skuad Gergasi Merah menewaskan musuh derbi mereka iaitu PDRM FC menerusi keputusan agregat 7-0 pada Februari lepas.
Meskipun sudah merangkul satu trofi, Gergasi Merah masih tidak dapat lari daripada kritikan dan terbaharu Selangor menjadi topik perbincangan selepas beberapa bekas pemain mereka berjaya menunjukkan prestasi cemerlang di kelab baharu.
Ia menimbulkan satu dakwaan bahawa kelab berpangkalan di Lembah Klang itu seolah-olah tidak bijak dalam memanfaatkan pemain hingga menyebabkan beberapa bakat terlepas begitu sahaja di tangan kelab lain.
Peminat mula membandingkan prestasi beberapa pemain yang kurang mendapat peluang sewaktu bersama Selangor tetapi berjaya menyerlah selepas berpindah ke kelab lain. Fenomena itu menimbulkan persoalan mengenai dasar pemilihan dan pengurusan Gergasi Merah.
Bukan satu atau dua pemain, Majoriti cuba merungkai tiga pemain yang semakin menyinar selepas meninggalkan Gergasi Merah;
1) Reziq Bani Hani
Reziq Bani (tengah) bersama dengan rakan sepasukan, Al-Hussein. — Instagram/Al-Hussein
Bekas penyerang Selangor FC, Reziq Bani Hani terus menunjukkan prestasi memberangsangkan selepas kembali ke tanah airnya untuk menyertai juara Liga Pro Jordan, Al Hussein SC, pada September 2024.
Dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2), Reziq menjadi wira dengan menjaringkan dua gol penting ketika Al Hussein menewaskan kelab Uzbekistan, FC Nasaf, 2-1 bagi meletakkan Al Hussein di tangga teratas Kumpulan D dengan sembilan mata daripada empat perlawanan.
Selain itu, Reziq turut membantu Al Hussein meraih trofi Jordan Super Cup selepas menewaskan Al-Wehdat SC dengan agregat 3-1. Dalam aksi pertama yang berkesudahan 3-1, Reziq menyumbang satu gol, manakala aksi timbal balik berakhir tanpa jaringan dan mengesahkan kejuaraan kedua bagi kelab tersebut.
Sebelum menyertai Al Hussein, Reziq beraksi bersama Selangor FC selama lima bulan namun sering tampil sebagai pemain gantian dan menjaringkan beberapa gol penting, termasuk dalam separuh akhir Piala FA menentang Terengganu.
Keputusan Reziq untuk kembali ke Jordan ternyata membuahkan hasil, dengan pencapaian cemerlang bersama Al Hussein SC, membuktikan potensinya sebagai penyerang berbakat di peringkat antarabangsa.
2) Umarbek Eshmurodov
Umarbek ketika aksi menentang Iran baru-baru ini. — Instagram/Umabek
Tiba dengan nilai tersendiri namun jodoh bek tengah Uzbekistan iaitu Umarbek Eshmurudov dengan Selangor FC tidak bertahan lama selepas The Red Giants memilih untuk tidak melanjutkan kontraknya yang berakhir pada Disember 2024.
Sepanjang musim 2024 bersama Selangor, Umarbek tampil dalam 18 perlawanan di pelbagai kejohanan domestik dan antarabangsa dan dia juga menyumbang satu gol serta membantu satu jaringan.
Setelah kembali ke FC Nasaf Qarshi, bek berusia 32 tahun itu segera menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan, membantu memperkukuhkan benteng pertahanan dan menyumbang kepada beberapa kemenangan penting dalam saingan liga domestik serta aksi ACL2.
Bukan hanya cemerlang di peringkat kelab, pemain berketinggian 1.86 meter itu juga terus menjadi tonggak utama dalam skuad kebangsaan Uzbekistan dengan matlamat membantu negaranya layak ke Piala Dunia 2026.
Digandingkan dengan bek muda Manchester City iaitu Abdukodir Khusanov, Umarbek berhasil membantu Uzbekistan mengikat Iran dengan keputusan 2-2 dalam aksi kelayan Piala Dunia pada 25 Mac lepas.
3) Yazan Al-Arab
Yazan telah tampil dalam 17 perlawanan bersama FC Seoul sejak Julai 2024. — Agensi
Kisah Yazan Al-Arab berbeza dengan Reziq dan Umarbek, bek tengah otu telah menunjukkan kebangkitan luar biasa dalam karier bola sepaknya selepas insiden kontroversi yang menyebabkan penamatan kontraknya bersama kelab Malaysia itu pada Oktober 2023.
Selepas meninggalkan Selangor FC, Yazan menyertai Al-Shorta di Iraq pada November 2023 sebelum berpindah ke Muaither SC di Qatar pada Januari 2024. Pada Julai 2024, dia menandatangani kontrak dengan FC Seoul, sebuah kelab terkemuka dalam K-League 1.
Di FC Seoul, Yazan segera menyesuaikan diri dan memberikan impak signifikan hingga menyaksikan dicalonkan untuk anugerah Pemain Terbaik Bulanan K-League pada Ogos 2024, mencerminkan prestasi cemerlangnya di pentas bola sepak Korea Selatan.
Selain itu, nilai pasaran bek berusia 29 tahun itu meningkat ketara sejak menyertai FC Seoul. Pada Mac 2025, nilai pasaran beliau dianggarkan sekitar €700,000 (RM3.36 juta), berbanding €400,000 (RM1.92 juta) semasa dia menyertai Selangor FC pada 2021.
Kisah kebangkitan Yazan menjadi inspirasi kepada ramai, membuktikan bahawa dengan dedikasi dan semangat juang yang tinggi, seseorang pemain mampu bangkit dan mencapai kejayaan walaupun berdepan cabaran dalam karier mereka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram