
LIVERPOOL sudah memulakan pencarian bagi mengganti Trent Alexander-Arnold yang sudah bersetuju dengan terma Real Madrid dan akan menyertai kelab itu secara perpindahan percuma pada penghujung musim ini, seperti disahkan oleh Fabrizio Romano pada awal minggu ini.
Alexander-Arnold, yang dianggap sebagai salah seorang bek kanan terbaik di dunia bakal meninggalkan kekosongan besar di bahagian kanan pertahanan Liverpool terutamanya dalam aspek serangan, dengan hanya segelintir pemain sahaja mampu menggantikan kualitinya.
Liverpool berkemungkinan besar akan mencari pengganti dari dalam kelab sendiri, dengan Conor Bradley muncul sebagai calon utama selepas pemain muda itu telah beberapa kali menggantikan Alexander-Arnold musim ini.
BACA LAGI: Ada lagi pemain Liverpool beri bayangan ikut Trent Alexander-Arnold ke Real Madrid
BACA LAGI: Bahagian tengah Liverpool terancam, Celtic berminat rekrut bintang Jepun
Namun, Bradley bukan satu-satunya pemain yang berada dalam radar Liverpool. Bek kanan Bayer Leverkusen iaitu Jeremie Frimpong dilaporkan menjadi sasaran utama untuk memperkuatkan pasukan.
Menurut laporan Liverpool.com, kelab Merseyside itu telah mengadakan perbincangan awal dengan Bayer Leverkusen mengenai potensi perpindahan Frimpong.
Walaupun rundingan masih di peringkat awal, perpindahan Alexander-Arnold ke Madrid mempercepatkan usaha membawanya masuk.
Frimpong yang memainkan peranan penting dalam kejayaan Bayer Leverkusen menjuarai Bundesliga di bawah kendalian Xabi Alonso musim lalu, menjadi antara bek kanan paling diingini di Eropah.
Pemain muda, Conor Bradley boleh mengisi kekosongan pertahanan kanan Liverpool. — Agensi
Dengan kepantasan, kemahiran mengiring bola, dan keupayaan menyerang yang luar biasa, pemain berusia 24 tahun kelahiran Belanda berkenaan menjadi pilihan utama Liverpool bagi menggantikan Alexander-Arnold.
Frimpong memulakan kariernya di akademi remaja Manchester City sebelum berhijrah ke Celtic pada 2019. Prestasi hebatnya di Scotland membuka jalan untuk perpindahan ke Bayer Leverkusen pada Januari 2021, di mana dia telah menjadi tonggak utama pasukan.
Musim lalu, Frimpong memainkan peranan penting dalam kejayaan Leverkusen, menjaringkan 14 gol dan mencatatkan 10 bantuan gol dalam 47 perlawanan di semua pertandingan. Prestasi itu menjadikannya sasaran beberapa kelab gergasi Eropah, termasuk Manchester United.
Frimpong berada dalam senarai pengganti Alexander-Arnold. — Agensi
Namun, Liverpool dikatakan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk menandatangani Frimpong kerana hubungan eratnya dengan pengurus baharu, Arne Slot. Pengendali Belanda itu dilaporkan berminat untuk menerbangkannya ke Anfield.
Sekiranya Alexander-Arnold meninggalkan kelab, mendapatkan Frimpong bakal menjadi satu kejayaan besar bagi Liverpool kerana khadirannya bukan sahaja akan memperkukuhkan skuad, malah akan membantu memastikan pasukan kekal kompetitif dalam saingan musim hadapan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel danTelegram