[VIDEO] Rezeki Ramadan, legenda Pahang, isteri bersyukur timang zuriat pertama lepas 12 tahun


  • Podium
  • Jumaat, 28 Mac 2025

Mohd Saifulnizam berkongsi berita gembira kelahiran bayi lelakinya selepas menanti kira-kira 12 tahun untuk menimang cahaya mata.

TERPAPAR wajah kegembiraan legenda Pahang, Mohd Saifulnizam Miswan apabila dikurniakan rezeki paling indah pada bulan Ramadan ini iaitu kelahiran cahaya mata pertamanya selepas 12 tahun menanti.

Mohd Saifulnizam atau lebih mesra dengan sapaan Poyeng berkongsi berita gembira itu menerusi Instagram peribadi sambil meletakkan beberapa foto serta video momen sepanjang perjalanan dia dan isteri menunggu kelahiran bayi mereka.

BACA LAGI: CEO Sri Pahang setuju tarikh final ditukar, boleh buat persiapan lebih rapi bersama JDT

BACA LAGI: Andai Kedah-Sri Pahang masih kekal, lebih baik 'sign' 3 bintang muda termasuk Nistelrooy berbanding import

"Bismillah, masya-ALLAH, ALLAH, tabarakallah, alhamdulillah syukur. Dengan hati yang penuh kasih sayang, kami teruja untuk memperkenalkan anak sulung kami selepas menunggu selama kira-kira 12 tahun.

“Ya ALLAH, aku mohon perlindungan kepada Mu untuk bayi ini dan keturunannya daripada godaan syaitan yang terkutuk, amin. Assalamualaikum semua. Hai uncles, aunties, atok, nenek, abang, kakak,” katanya menerusi hantaran berkenaan.

Selain dihujani dengan komen-komen tahniah daripada penyokong dan kenalan, berita gembira berkenaan turut mendapat ucapan tahniah daripada bekas ahli pasukan Ahmad Syamim Yahya serta Razman Roslan.

 

 

Dianggap sebagai salah seorang bek terbaik Pahang pada suatu ketika dahulu susulan bantu Tok Gajah menjulang Piala Malaysia pada 2013 dan 2014 serta Piala FA dan Piala Sumbangsih pada 2014, pastinya anak pertamanya menjadi anugerah paling manis dalam hidupnya.

Mohd Saifulnizam yang mula bersama Pahang sejak musim 2009 banyak meninggalkan memori suka dan duka bersama pasukan termasuklah insiden pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2014 iaitu dilayangkan kad merah kerana dilihat menumbuk perut Amri Yahya.

 

 

Pemain kelahiran Johor tersebut turut bersama skuad Tok Gajah dalam apa jua keadaan termasuklah menjadi watak penting dalam kebangkitan pasukan ketika beraksi di Liga Perdana musim 2012.

Selain bersama Pahang, Mohd Saifulnizam memulakan kerjaya bersama Johor FC pada 2003 hingga 2004, diikuti Johor FA (2005-2007), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 2007-2008 dan Pahang pada 2009 hingga 2017.

Selepas namanya digugurkan dalam perancangan skuad Tok Gajah pada penghujung musim 2017, Mohd Saifulnizam yang kini berusia 44 tahun berkenaan berhijrah ke Kuala Lumpur (KL) City FC pada 2018. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel danTelegram