
PENGURUS Celtic, Brendan Rodgers dilaporkan berminat untuk membawa masuk pemain tengah Liverpool, Wataru Endo dalam usaha memperkukuh pasukannya menjelang musim baharu.
Wartawan bola sepak, Ekren Konur turut mendedahkan bahawa terdapat empat kelab lain yang turut berminat untuk mendapatkan khidmat pemain antarabangsa Jepun itu pada jendela perpindahan musim panas ini.
Endo, 32, menyertai Liverpool pada musim panas 2023 dari VfB Stuttgart dengan yuran perpindahan sebanyak £16.2 juta (RM92.5 juta).
BACA LAGI: Liverpool akhirnya temui pengganti Robertson, tapi perlu bayar RM228.9 juta
BACA LAGI: Dua bek kiri dalam bahaya, Liverpool mahu 'close deal' pemain muda Bournemouth
Ketika itu, bekas pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menggambarkannya sebagai ‘seorang pemain yang sangat bagus’, ‘mesin di atas padang’, serta mempunyai ‘sikap luar biasa’.
Bintang Jepun itu dibawa masuk sebagai sebahagian daripada rombakan besar-besaran di bahagian tengah Liverpool, bersama Alexis Mac Allister dan Dominik Szoboszlai, selepas pemergian Jordan Henderson dan Fabinho.
Bagaimanapun, berbeza dengan Mac Allister dan Szoboszlai yang berjaya menjadi tonggak utama, Endo lebih banyak berperanan sebagai pemain skuad di bawah pengendali baharu Liverpool, Arne Slot musim ini.
Musim lalu, Endo beraksi dalam 20 perlawanan Liga Perdana Inggeris di bawah Klopp. Namun, musim ini dia masih belum membuat sebarang penampilan dalam kesebelasan utama liga dan hanya bermain selama 140 minit dalam Liga Juara-Juara sebelum Liverpool tersingkir.
Pengurus Celtic, Brendan Rodgers.
Kontrak Endo bersama Liverpool masih berbaki sehingga musim panas 2027, tetapi spekulasi mengenai perpindahannya semakin kuat dengan kemungkinan dia meninggalkan Anfield pada penghujung musim ini.
Rodgers dilaporkan berminat untuk mendapatkan Endo bagi menguatkan bahagian tengah Celtic yang kini mendahului saingan Scottish Premiership dengan kelebihan 13 mata di hadapan pencabar utama mereka, Rangers.
Setakat ini, The Bhoys sudah merangkul Piala Liga Scotland dan juga berjaya melangkah ke separuh akhir Piala Scotland, menjadikan musim ini sebagai salah satu yang cemerlang buat pasukan bimbingan Rodgers.
Sekiranya perpindahan ini menjadi kenyataan, Endo dijangka membawa pengalaman dan kualiti tersendiri ke Celtic, sekali gus meningkatkan lagi kekuatan pasukan dalam usaha mempertahankan kejuaraan liga mereka. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram