
DUNIA bola sepak negara pada Selasa dikejutkan dengan pemergian seorang lagi legenda apabila bekas pemain kebangsaan, Rahim Abdullah menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
Perkara itu disahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang berkongsi berita sedih tersebut di laman media sosial mereka.
Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Bukit Aman untuk urusan mandi, kafan serta solat jenazah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Kota Damansara.
BACA LAGI: 'No wonder hebat', bintang dalam pembikinan Pahang rupanya 'adik emas' tonggak JDT, Sabah, Tok Gajah
BACA LAGI: Azam Azmi dapat restu sarung jersi JDT, bikin Matt Davies tak senang duduk
Rahim Abdullah pernah diangkat sebagai bintang bola sepak negara.
Allahyarham yang merupakan anak kelahiran Pulau Pinang pernah diangkat sebagai antara bintang bola sepak negara kerana berada dalam skuad Harimau Malaya yang beraksi di Olimpik 1972.
Selain itu, khidmatnya pernah dicurahkan dalam bidang kejurulatihan dengan PDRM dan skuad kebangsaan merupakan dua pasukan yang pernah menagih khidmatnya.
Pemergian Allahyarham yang merupakan anak kedua daripada lapan adik beradik pastinya meninggalkan kesan mendalam terhadap arena bola sepak tanah air.
Ini kerana beliau menunjukkan kesungguhan untuk beraksi di atas padang kerana sanggup berkaki ayam sebelum mula menggunakan but bola ketika melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Teknik Tunku Abdul Rahman Putra, Pulau Pinang.
Kehebatan beliau sebagai pemain sayap berbakat yang mampu menendang dengan kedua-dua belah kaki menjadikan beliau antara pemain terbaik di posisi itu.
Untuk rekod, Allahyarham pernah beraksi buat beberapa kelab tempatan seperti Pulau Pinang, Perak dan Selangor. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram