Rexy dilantik pengarah beregu BAM, Jonassen diberi mandat latih perseorangan


  • Podium
  • Selasa, 25 Mac 2025

Jonassen (kiri) bersama Rexy Mainaky akan bertanggungjawab melatih pemain dari peringkat remaja hingga senior.

PENGARAH kejurulatihan badminton kebangsaan, Rexy Mainaky akan kembali ke jawatan sebelumnya sebagai Pengarah Beregu di Persatuan Badminton Malaysia (BAM). 

Dalam peranan baharunya, jurulatih dari Indonesia berkenaan akan bertanggungjawab ke atas skuad beregu lelaki, beregu wanita, dan beregu campuran. 

Sementara itu, jurulatih dari Denmark iaitu Kenneth Jonassen diberi mandat untuk mengendalikan acara perseorangan lelaki dan wanita sebagai Pengarah Perseorangan.

BACA LAGI: Misi buru gelaran di Vietnam, prospek badminton negara teruja berganding pemain veteran

BACA LAGI: Lin Dan, ahli gandingan beregu emas negara antara bintang kidal badminton terhebat dunia

Pemangku Presiden BAM, Datuk V. Subramaniam menjelaskan bahawa langkah itu adalah sebahagian daripada usaha persatuan untuk menyusun semula jabatan kejurulatihan bagi meningkatkan kecekapan. 

Keputusan tersebut dibuat dengan mengambil kira kepakaran Jonassen dalam acara perseorangan serta pengalaman luas Rexy dalam acara beregu.

“Jadi, dengan Rexy menyelia acara beregu dan Kenneth pula mengendalikan perseorangan, kedua-duanya pakar dalam bidang masing-masing. 

"Saya percaya Kenneth mampu sepenuhnya mengendalikan bahagian perseorangan, dan kami mesti meletakkan kepercayaan kepadanya.

"Pada masa sama, kami mahu meringankan beban kerja Rexy supaya dia boleh memberi tumpuan sepenuhnya kepada sektor beregu," kata Subramaniam.

Beliau turut menegaskan bahawa BAM yakin dengan kebolehan Jonassen untuk menguruskan jabatan perseorangan, sementara langkah itu juga bertujuan untuk mengurangkan beban kerja Rexy agar beliau dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada sektor beregu.

 Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia, Rexy Mainaky.

Selain itu, kedua-dua jurulatih akan bertanggungjawab dalam pembangunan atlet dalam jabatan masing-masing, merangkumi pemain elit serta bakat muda di peringkat junior.

Struktur baharu ini bukanlah sesuatu yang asing bagi BAM kerana Rexy sebelum ini telah mengawasi pembangunan pemain beregu sejak kembali ke BAM pada 2021. 

Ketika itu, beliau bekerja bersama Wong Choong Hann, yang berperanan sebagai pengarah kejurulatihan bagi bahagian perseorangan.

Dengan perubahan tersebut, BAM berharap dapat memperkukuhkan sistem latihan dan pembangunan pemain negara dalam usaha meningkatkan prestasi di peringkat antarabangsa. — The Star/ADAMZAMRI

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram