
SRI Pahang FC kini sedang dalam persiapan untuk perlawanan akhir Piala Malaysia 2024 menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 26 April ini.
Dengan pertukaran tarikh yang dibuat oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) itu, kelab juga mempunyai masa untuk menambah latihan mereka untuk memberi cabaran hebat kepada juara bertahan Piala Malaysia itu.
Bagaimanapun, di sebalik keterujaan final kejohanan berprestij berkenaan, penyokong Tok Gajah tidak dapat menyembunyikan kebimbangan mereka mengenai masalah dalaman yang dialami kelab Pantai Timur berkenaan.
BACA LAGI: Hasrat fans Harimau Malaya lihat kelibat Jon Irazabal di kem kebangsaan tertangguh?
Sri Pahang dilaporkan akan dibubarkan pada musim depan selepas didakwa mengalami masalah kewangan. Isu tersebut juga pernah dikongsikan oleh para pemain Tok Gajah, yang meluahkan perasaan mereka mengenai masalah gaji.
Misalnya, pertahanan tengah skuad Tok Gajah iaitu Adam Nor Azlin pernah meluahkan kekecewaan terhadap pihak atasan kelab berhubung isu kewangan menerusi Insta Story peribadinya.
Melihat situasi Sri Pahang, pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berpendapat semua pihak termasuk kerajaan negeri dan badan agensi di Pahang perlu membantu Tok Gajah mendapatkan dana seperti bentuk tajaan kewangan.
"Sebenarnya kalau kita lihat senario bola sepak negara kita, kita tak boleh nak halang, biarlah kerajaan negeri sokong (segi kewangan).
"Sebab itulah sebenarnya yang membangunkan bola sepak kita, negara kita sebelum ini. Jadi kalau ada sokongan daripada kerajaan negeri dia akan merangsang syarikat-syarikat GLC negeri turut membantu.
"Jadi kalau nak halang (kerajaan negeri) sokong pun tak berapa baguslah untuk pembangunan sukan kita, tidak kiralah kerajaan negeri, PBT, syarikat-syarikat korporat sokong.
"Yang penting sekali ialah pembahagian atau komitmen daripada semua pihak yang ada di Pahang untuk membantu," katanya.
Tambahnya lagi, jika Sri Pahang tidak mampu meneruskan kelangsungan kelab wajar untuk pihak pengurusan menyerahkan semula kepada Pahang FA untuk mencari individu tepat yang mampu membimbing pasukan itu.
"Pengurusan Sri Pahang itu kalau rasa mereka tak mampu lagi nak uruskan serahkan balik kepada FA untuk membuat keputusan, memberikan kepada pihak yang boleh menerajui Sri Pahang itu.
"Kalau mereka tak mampu nak uruskan, serahkan balik kepada pihak-pihak lain yang mampu untuk menguruskan.
"Saya percaya mesti ada (individu) lain boleh mengambil alih Sri Pahang. Tapi disebabkan FC itu seolah-olah dimiliki oleh Tengku Abdul Rahman jadi Sri Pahang tak bergerak.
"Jadi kena ubah balik semula, kalau betul-betul serius. Kalau tidak kita terpaksa bergantung kepada kemampuan Sri Pahang di perlawanan akhir Piala Malaysia.
"Sebab kita mengharap kepada keajaibanlah, kalau menang kemungkinan akan mengubah kembali wajah dan juga kita katakan merancang semangat atau menyuntik semangat baharu kepada orang-orang di Pahang," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram