'Terima kasih atas setiap detik', Safee Sali buka harga jersi Pelita Jaya


  • Podium
  • Ahad, 16 Mac 2025

Safee ketika mewakili Pelita Jaya di Indonesia.

"SAYA percaya, melepaskan adalah sebahagian daripada perjalanan hidup."

Itulah luahan kata hati bekas penyerang kebangsaan, Mohd Safee Sali selepas terpaksa melepaskan satu-satunya jersi kelab luar negara diwakilinya, Pelita Jaya FC di dalam Facebook pada Ahad (16 Mac).

Bekas pemain berusia 41 tahun itu membuka tawaran kepada mana-mana pihak yang berminat untuk membida jersi kelab Indonesia itu.

BACA LAGI: Ada import Jepun musim depan, 3 pemain mungkin ikut Kinoshi sertai Selangor FC

BACA LAGI: Misi 'double' makin sukar, Liverpool hilang 4 tonggak penting sebelum aksi final Piala EFL

Menurut Safee, walaupun berat hati untuk melepaskan jersi itu, dia percaya perpisahan adalah sebahagian daripada perjalanan hidup.

"Setiap jersi yang saya miliki bukan sekadar kain, tetapi ianya juga kenangan yang mendalam.

"Dengan hati yang sangat berat, saya mengambil keputusan untuk melepaskan jersi matchworn yang penuh bermakna ini.

"Saya percaya, melepaskan adalah sebahagian daripada perjalanan hidup. Terima kasih atas setiap detik yang tercipta.

"Saatnya untuk terus melangkah ke depan. Tawaran tertinggi akan mendapat peluang untuk memiliki jersi sentimental ini.

"Ini peluang anda untuk memiliki sebahagian daripada cerita unik Safee Sali sendiri," katanya.

Untuk rekod, Pelita Jaya adalah satu-satunya pasukan luar negara pernah diwakili Safee sepanjang kariernya bergelar pemain bola sepak.

Safee yang cemerlang bersama Harimau Malaya dan Selangor FC menerima tawaran untuk menyertai Pelita Jaya selepas tamatnya kempen Piala AFF 2010.

Bersama Pelita Jaya, Safee berjaya meledak 27 gol dalam 42 perlawanan sebelum Liga Indonesia digantung oleh Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) selepas tiga tahun dia beraksi di sana.

Pelita Jaya kini dikenali sebagai Madura United dan dikendalikan oleh bekas jurulatih TRW Kelantan, Angel Alfredo Vera.

Selain Pelita Jaya dan Selangor, Safee juga pernah beraksi buat Kuala Lumpur FA, Sarawak FA, Johor Darul Ta'zim (JDT), PKNS FC, Perlis FC, Petaling Jaya City dan Kuala Lumpur City FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram