[VIDEO] Safee Sali 'benci' bek import Sang Penyu, akui JDT pernah alami kesukaran di Terengganu


  • Podium
  • Sabtu, 04 Jan 2025

Safee Sali pernah menyarung jersi skuad Harimau Selatan dengan pelbagai kejuaraan sempat dijulangnya.

KETIKA berada di kemuncak kariernya, Safee Sali boleh diangkat sebagai salah seorang penyerang terbaik dalam rantau Asia Tenggara, lebih-lebih lagi ketika menyarung jersi kebangsaan.

Ini dapat disaksikan ketika saingan Piala AFF 2010 yang menyaksikan Harimau Malaya menjuarai pertandingan itu buat kali pertama dengan pemain itu membawa pulang Anugerah Kasut Emas.

Di peringkat kelab pula, anak jati Kajang, Selangor itu tidak kurang hebatnya kerana pernah mewakili beberapa kelab tanah air seperti Selangor dan Johor Darul Ta'zim (JDT).

BACA LAGI: Beri peluang tonggak JDT, bakat TFC buktikan kemampuan — Safee Sali

BACA LAGI: [VIDEO] Masih relevan, Safee Sali diserbu fans cilik Sabah lepas jaringkan gol ikonik

Sepanjang tempoh berkenaan, Safee pernah merangkul pelbagai kejuaraan, termasuk lima gelaran Liga Super, dua kejuaraan Piala FA dan Piala AFC 2015 ketika bersama skuad Harimau Selatan.

Kesemua gelaran yang berjaya dibawa pulang di peringkat kelab mahupun antarabnagsa sesuai meletakkannya dalam senarai legenda bola sepak negara yang pernah mewarnai arena sukan berkenaan.

Namun, seperti mana-mana pemain, Safee tidak pernah terlepas daripada berdepan lawan lebih berkualiti yang sukar diatasinya meskipun sudah kira-kira dua tahun menggantung but.

Dalam podcast Sports Tarik, dia yang kini bertugas sebagai pundit menjelaskan terdapat pertahanan skuad Sang Penyu dengan kelebihan fizikal sehingga membuatkannya bergelut setiap kali bertemu pasukan terbabit.

"Ada seorang pemain bernama Fabio (Flor) yang merupakan import dari Brazil, saya cukup benci dengannya! Saya amat tak suka setiap kali berdepan Terengganu, dia akan bermain.

450629536_1461895397778687_2150641376183124977_n

Fabio Flor pernah mewakili kedua-dua pasukan di Terengganu sepanjang kariernya.

"Ini kerana fizikalnya. Pertama sekali, dia tinggi dan keduanya, dia seorang yang keras. Dahulu, ketika saya masih bermain gaya permainan Terengganu dan bermain di sana membuatkan kami sukar meraih kemenangan jika dia diturunkan," katanya.

Ketinggian Safee yang hanya mencecah 1.72 (m) sememangnya meninggalkan perbezaan ketara berbanding lawannya kerana terdapat jurang fizikal antara kedua-dua bekas pemain Liga Super itu.

Berdasarkan rekod, Fabio pernah beraksi di Pantai Timur selama beberapa tahun, iaitu dari 2005 sehingga 2008 bersama skuad Sang Penyu sebelum kembali enam tahun kemudian untuk menyertai T-Team dan beraksi di sana buat semusim.

Jadi, terdapat kemungkinan pertemuan dimaksudkan Safee adalah ketika bek tengah itu beraksi buat T-Team memandangkan penyerang negara berkenaan ketika itu beraksi buat JDT.

Berhubung luahan mengenai kesukaran beraksi di negeri Pantai Timur tersebut pula, skuad Harimau Selatan sememangnya bergelut setiap kali berkunjung ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu pada 2014.

Ini kerana dalam dua kunjungan ke venue terbabit, JDT mengalami dua kekalahan dalam Liga Super, iaitu ketika berdepan Terengganu dan T-Team sebelum hanya mencatatkan keputusan seri dalam kempen Piala Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram