
BEKAS penganalisis Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Hazwan Nizam Fazli, cukup kesal dengan tindakan pihak pengurusan kelab Utara tanah air itu selepas seperti menutup mata apabila tidak menghubunginya untuk berbincang soal tunggakan gaji.
Hazwan yang mendedikasikan dirinya kepada sukan Malaysia tidak pernah membayangkan bahawa dirinya kini terpaksa berjuang untuk terus hidup.
Dahulu memperoleh RM7,500 sebulan sebagai penganalisis bagi Kedah Darul Aman, kini dia hanya mampu bertahan dengan RM50 sehari.
BACA LAGI: 'Agensi, badan kerajaan negeri perlu jadi penaja demi bola sepak Pahang'
BACA LAGI: Hasrat fans Harimau Malaya lihat kelibat Jon Irazabal di kem kebangsaan tertangguh?
Membina kerjayanya sebagai penganalisis prestasi berpengalaman, selain bekerja dengan pasukan terbaik negara termasuk Perak FC, pasukan ragbi kebangsaan Malaysia dan skuad sepak takraw kebangsaan, kepakarannya dalam analisis prestasi berasaskan data menjadikan Hazwan individu yang sangat dihormati dalam arena sukan tempatan.
Namun hari ini, dia berasa ditinggalkan dan dilupakan.
"Saya tidak pernah menerima gaji penuh sepanjang 2024. Mereka hanya membayar 30 peratus atau 50 peratus, bergantung kepada skala gaji kami. Bagi saya, sudah hampir lapan bulan saya terima gaji tanpa bayaran penuh," katanya.
Dunianya runtuh apabila bapanya, seorang bekas pegawai polis yang juga bekas pesakit kanser tahap empat, menjalani pembedahan jantung (open-heart surgery) di Institut Jantung Negara (IJN) pada November. Kelab menjanjikan bantuan kewangan kepadanya. Namun, janji itu tidak ditepati.
"Mereka beritahu saya boleh pulang untuk menjaga ayah selepas pembedahan dan saya percaya kata-kata mereka (kelab).
"Mereka berjanji akan membayar tiga bulan gaji lebih awal untuk membantu perbelanjaan, tetapi sehingga kini, saya tidak menerima satu sen pun," katanya.
Kos pembedahan dan penjagaan selepas pembedahan mencecah lebih RM100,000, jumlah yang mustahil ditanggung tanpa bantuan.
Mujurlah bapanya mendapat sokongan kewangan daripada pasukan polis, tetapi Hazwan sendiri terpaksa menjual dan menggadaikan barang berharga keluarga hanya untuk meneruskan hidup.
Hazwan terpaksa melepaskan jawatannya selepas ketua jurulatih pasukan, Nafuzi Zain, meletakkan jawatan.
Tanpa gaji, bil tertunggak semakin menimbun sewa rumah, pinjaman kereta, malah caruman kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga tidak dibayar oleh kelab.
Kestabilan dari sudut kewangannya hilang sekelip mata.
"Ada hari saya hanya dapat RM40 atau RM50. Jika saya dapat menganjurkan seminar, mungkin saya boleh memperoleh RM1,000, tetapi itu bukan setiap hari.
"Bagaimana seseorang boleh jatuh daripada RM7,500 sebulan kepada hidup sekadar cukup makan?" soalnya.
Sementara itu, kelab seolah-olah meneruskan operasi seperti biasa, membuatkan Hazwan tertanya-tanya bagaimana mereka akan memenuhi kriteria pelesenan untuk musim depan.
"Untuk mendapatkan lesen kelab, mereka meminta saya menandatangani dokumen kononnya gaji saya telah diselesaikan.
"Tinggal kurang empat perlawanan sebelum musim berakhir, tetapi gaji masih tertunggak. Jadi, bagaimana mereka boleh memenuhi syarat pelesenan AFC untuk tahun depan?" katanya dengan nada kesal.
Masalah ini bukan hanya menimpanya. Ramai lagi dalam pasukan Kedah mengalami nasib yang sama, terutama pemain-pemain muda.
"Pasukan utama masih mendapat elaun jika mereka hadir ke latihan dan perlawanan. Tetapi pemain bawah 23 tahun (B-23) dan yang lebih muda? Mereka terpaksa bergantung pada sumbangan orang ramai atau restoran di Alor Setar untuk mendapatkan makanan," dedahnya.
Namun, pihak pengurusan tidak pernah menghubunginya untuk membincangkan isu gaji atau kontraknya.
"Apabila mereka dengar nama saya dikaitkan dengan skuad B-23 kebangsaan, mereka hanya mengucapkan selamat maju jaya. Tetapi tidak ada sebarang perbincangan tentang gaji saya yang tertunggak. Tidak ada sebarang rundingan mengenai kontrak saya," katanya.
Tanpa pilihan lain, dia kini menjalankan kelas kejurulatihan di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk mencari pendapatan, tetapi kestabilan masih jauh daripada genggamannya.
Kebajikan bapanya dapat diselamatkan oleh pasukan polis, tetapi Hazwan sendiri terpaksa berjuang sendirian.
"Jika mereka menyelesaikan kontrak saya dan membayar apa yang mereka hutang, saya boleh teruskan hidup. Tetapi buat masa ini, mereka masih berhutang tujuh bulan gaji saya, sebanyak RM7,500 sebulan," katanya.
Daripada seorang penganalisis sukan yang dihormati di Malaysia kepada seorang lelaki yang hanya memperoleh RM50 sehari, Hazwan dibiarkan terpinggir, ditinggalkan sewaktu dia sangat memerlukan bantuan.
"Saya telah berikan segala-galanya kepada sukan ini. Tetapi apabila saya perlukan bantuan, di mana kelab?" — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram