Dua bek kiri dalam bahaya, Liverpool mahu 'close deal' pemain muda Bournemouth


  • Podium
  • Jumaat, 21 Mac 2025

Robertson dan Tsimikas kemungkinan akan digugurkan dari skuad The Reds. — Agensi

LIVERPOOL semakin hampir mendapatkan Milos Kerkez dari Bournemouth, dengan pemain berusia 21 tahun itu menjadi sasaran utama kelab bagi memperkuat posisi bek kiri.

Laporan terkini menunjukkan bahawa The Reds sedang mempercepatkan usaha mereka untuk menandatangani pemain kebangsaan Hungary itu.

The Reds dijangka memberi perhatian khusus kepada posisi bek kiri pada jendela perpindahan musim panas ini berikutan keraguan terhadap kebolehan jangka panjang Andy Robertson serta kesesuaian Kostas Tsimikas.

BACA LAGI: Dikhabar tinggalkan Liverpool, Chelsea antara 4 kelab mahu sambar penjaga gol The Reds

BACA LAGI: Liverpool perlu bersaing dengan Newcastle, Chelsea andai mahu sambar pengganti van Dijk

Kerkez telah disebut oleh beberapa sumber yang boleh dipercayai, termasuk wartawan sukan, David Ornstein dari The Athletic, yang mengesahkan bahawa pemain tersebut masih berada dalam senarai utama Liverpool.

Menurut laporan dari The i Paper, Liverpool sedang berusaha untuk mendapatkan kelebihan berbanding pesaing lain seperti Manchester City, Manchester United, dan Arsenal, menyebabkan mereka mempercepatkan proses rundingan.

Difahamkan, kelab itu telah menghubungi wakil Kerkez dan memulakan rundingan awal dengan Bournemouth, namun setakat ini belum ada tawaran rasmi yang dibuat.

Kerkez dari Bournemouth dilaporkan akan menyertai Liverpool nanti. — Agensi

Harga perpindahan Kerkez dijangka tidak kurang daripada £40 juta (RM229 juta), jauh lebih tinggi berbanding £8 juta (RM45 juta) yang dibayar Liverpool untuk mendapatkan Andy Robertson pada 2017 dan £11.75 juta (RM66 juta) untuk Kostas Tsimikas.

Bagaimanapun, laporan menyatakan bahawa Kerkez lebih cenderung untuk menyertai Liverpool berbanding pilihan lain. Tambahan pula, ejennya yang baharu adalah individu yang turut mengurus perpindahan Federico Chiesa ke Anfield pada musim panas lalu.

Kerkez dianggap sebagai pemain yang memenuhi pelbagai kriteria penting, termasuk faktor umur, pengalaman, dan sumbangannya dalam serangan. Musim ini, dia telah menjaringkan dua gol serta mencatat lima bantuan jaringan untuk Bournemouth.

Pemain itu juga merupakan rakan rapat Dominik Szoboszlai dan telah membuat hampir 150 penampilan senior untuk kelab serta negaranya, meskipun baru sahaja mencecah usia 21 tahun pada November lalu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram