Ketiadaan Arif Aiman boleh diterima tapi ramai persoal mana Natxo Insa?


  • Podium
  • Rabu, 19 Mac 2025

Sesi latihan skuad kebangsaan di Padang Seri Gelam tidak disertai Arif Aiman dan Natxo Insa ketika ini. — Facebook/Malaysia NT

SESI latihan skuad kebangsaan menjelang aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal pada penghujung Mac sudah bermula dengan beberapa wajah baharu mencuri perhatian penyokong.

Tumpuan utama sudah tentu dicurahkan kepada pengendali, Peter Cklamovski yang berpeluang membuktikan kredibiliti di hadapan anak-anak buahnya di padang latihan.

Penyokong juga seperti terpukau dengan beberapa figura ternama lain yang menyertai sesi tersebut, termasuk Aidil Zafuan serta ketua jurulatih skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara, Nafuzi Zain.

BACA LAGI: Selangor didenda RM110,000 angkara kain rentang fans, mulut lancang Natxo Insa turut tak terlepas pandang

BACA LAGI: [VIDEO] Natxo Insa mohon maaf berhubung isu JDT tewas kepada 14 pemain Shandong

Cklamovski berpeluang membuktikan kebolehan sebenarnya dalam Harimau Malaya. Facebook/Malaysia NT

Dalam kalangan pemain pula, kepulangan Faisal Halim masih menjadi topik utama kerana ramai sudah merindui kelibatnya bersama Harimau Malaya selepas kali terakhir beraksi adalah ketika berdepan Korea Selatan di Piala Asia tahun lalu.

Bagaimanapun, di sebalik 27 nama yang dipanggil Cklamovski, tumpuan turut diberikan kepada ketiadaan dua pemain iaitu Natxo Insa dan Arif Aiman Hanapi yang masih belum melaporkan diri setakat ini.

Arif Aiman difahamkan terpaksa melupakan sesi awal di Pusat Latihan JDT, Padang Seri Gelam, Johor berikutan kecederaan dialami semasa pasukannya berdepan Penang FC pada Ahad lalu.

Namun, persoalan menyelubungi ketiadaan Natxo Insa yang hanya berada di bangku simpanan sepanjang perlawanan di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang itu, sekali gus menepis alasan bahawa dia perlu berehat sebelum menyertai sesi Cklamovski.

Natxo (kiri) sudah berkali-kali menarik diri setiap kali dipanggil dalam skuad kebangsaan. Facebook/FAM

"Natxo Insa seperti biasa. Ketika Piala AFF dan Kelayakan Piala Asia, ada sahaja isu kesihatan. Tetapi, semasa kejohanan sebenar, dia paling ke hadapan untuk masuk padang," kata Myz Shizuka.

"Selepas berjuang bersama JDT dalam Liga Super dan ACL (Liga Juara-Juara AFC) Elite, Natxo Insa tiba-tiba hilang dari radar, adakah sakit lagi?" kata Ahmad Zack.

"Sekali lagi, kelibat Natxo dalam pasukan negara tidak kelihatan. Sampai bila dia perlu diberi ruang sebegini? Sepatutnya posisi itu diisi pemain lain yang lebih sesuai," kata Malik Nizam.

Pemain warisan tersebut sebelum ini pernah beberapa kali menarik diri daripada skuad kebangsaan akibat isu kecederaan dengan keputusan berkenaan menimbulkan perasaan kurang senang daripada penyokong.

Tetapi, meskipun tindakan sedemikian sudah berulang kali dilakukan, barisan kejurulatihan Harimau Malaya masih memerlukan khidmatnya memandangkan dia masih menjadi pemain tengah bertahan terbaik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram