[VIDEO] Segak berbaju Melayu, Rodtang bawa aura berbeza berdepan petarung Jepun 


  • Podium
  • Selasa, 18 Mac 2025

Rodtang (kiri) lengkap berbusana baju melayu tradisional berwarna hitam dipadan dengan sampin pada sesi 'face off'. — Facebook/OneChampionship

BEKAS juara Muay Thai One Championship, Rodtang Jimuangnon mencuri perhatian dunia khususnya peminat sukan tanah air apabila petarung itu berbusana baju Melayu tradisional ketika sesi 'face off' untuk acara ONE 172. 

Mengenakan baju Melayu berwarna hitam dan dipadan dengan samping yang miliki rekaan unik sebagai pelengkap pakaian itu membuatkan Rodtang membawa aura berbeza dari kebiasaan petarung berkenaan. 

Pakaian tradisional masyarakat Melayu itu disarung ketika Rodtang hadir ke sesi bersemuka dengan bakal lawannya, Takeru Segawa sebelum pertandingan sebenar berlangsung iaitu pada 23 Mac 2025 di Tokyo, Jepun. 

BACA LAGI: 'New era of Muay Thai', selain Jojo, Rifdean antara 3 mula tempa nama sukan tinju

BACA LAGI: [VIDEO] Sebelum bertemu di gelanggang sebenar, Jake Paul terima 'tamparan wanita' Mike Tyson

Sementara itu, Segawa pula memilih untuk mengenakan sut berwarna coklat cerah dan mengenakan tali lahir bewarna merah. Pemilihan warna itu jelas mencipta kontras jelas antara kedua-dua petarung.

Penampilan Rodtang segera mendapat pujian daripada warganet di pelbagai platform media sosial khususnya peminat sukan Malaysia dengan rata-ratanya bangga melihat pakaian tradisional tanah air diperagakan di peringkat antarabangsa.

Selain membawa identiti budaya ke pentas seni bela diri dunia, ia juga membuktikan bahawa baju Melayu tidak terhad kepada orang Malaysia sahaja dan ia juga boleh digayakan oleh rakyat negara lain seperti yang dilakukan oleh Rodtang. 

"Tumpang bangga bila Rodtang berbaju Melayu," kata pengguna Facebook, Namaku Mohd Zabidi.

"Kacak tengok orang Thailand macam Rodtang berbaju Melayu," komen pengikut sukan tempur, Farizal Ghazali. 

Kemunculan Rodtang dalam pakaian tradisional itu terhasil daripada kolaborasi dengan jenama fesyen terkenal tempatan, Elrah Exclusive yang melantik atlet dengan gelaran 'The Iron Man' itu sebagai duta rasmi pada Februari lepas. 

Kerjasama tersebut bukan sekadar menggabungkan elemen fesyen dengan sukan tempur, malah ia turut memperkenalkan baju Melayu ke pentas dunia melalui sosok juara Muay Thai terkenal seperti Rodtang. 

Dalam pada itu, oertarungan antara Rodtang dan Takeru dijangka menjadi salah satu acara paling mendebarkan tahun ini, dengan peminat sukan tempur dari seluruh dunia tidak sabar menantikan aksi epik kedua-dua jaguh tersebut di dalam gelanggang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram