
LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) tidak menafikan beberapa kelab yang bertanding dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) menghadapi masalah kewangan pada saingan musim 2024/2025.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd bagaimanapun tidak menyebut mana-mana pasukan dan hanya mengharapkan kelab berkenaan akan menyelesaikan lesen kebangsaan (LK) hingga 30 April.
BACA LAGI: 'Kami kena check semula', MFL respons dakwaan kelab Lembah Klang palsukan dokumen mohon lesen
BACA LAGI: MFL terbuka jemput kelab luar negara meriahkan Liga M
“Kita mengakui kelab-kelab ada masalah kewangan, namun begitu dalam tempoh sebulan ini, sekretariat kerap berhubung dengan kelab untuk memastikan kelab-kelab dapat memenuhi dokumen-dokumen yang perlu dimuat naik dalam sistem licensing club kita.
"Tapi, saya optimis bahawa mana-mana pasukan yang sedia ada mampu komited dengan pelesenan kelab. Kesemua 13 pasukan masih positif untuk terus kekal berada di Liga Malaysia.
"Setakat ini perjumpaan dan sesi pertemuan nampaknya sangat positif. Dalam tempoh sebulan lebih ini kelab-kelab harus bekerja keras untuk memastikan perkara-perkara melibatkan pelesenan dapat dipenuhi sebelum berakhir 30 April," katanya.
Mohd Shazli ditemui ketika dałam Majlis Buka Puasa bersama MFL di Hotel One World, Petaling Jaya, Selangor pada Selasa.
Pemangku CEO MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd.
Dalam pada itu, Mohd Shazli juga memberitahu bahawa kesemua pasukan Liga Super termasuk Sri Pahang FC dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) masih mempunyai ruang untuk kekal bersaing musim depan sekiranya memohon Lesen Kebangsaan pada 30 April depan.
Tempoh sebulan lebih daripada sekarang ini bakal menjadi tempoh paling kritikal buat pasukan Liga Super khususnya kelab yang sedang mengalami isu tunggakan gaji babitkan jumlah tinggi.
Menurutnya, kelangsungan kedua-dua kelab itu dalam liga hanya akan diputuskan selepas semua dokumen berkaitan permohonan Lesen Kebangsaan dihantar dan dinilai oleh pihak berkuasa berkaitan.
"Kelab-kelab ketika ini dalam proses untuk melengkapkan pelesenan kelab. Kita ada dua pelesenan kelab yang menjadi keutamaan iaitu di peringkat AFC yang akan berakhir pada 31 Mac dan Lesen Kebangsaan berakhir pada 30 April.
"Jadi sebarang perkara melibatkan struktur hanya akan diketahui selepas 30 April dan selepas First Instance Body (FIB) membuat mesyuarat dan memutuskan kelab mana yang berjaya lulus untuk bermain pada liga tahun depan," jelasnya.
Sri Pahang didakwa akan dibubarkan pada musim depan. — Facebook/Sri Pahang
Sebelum ini, Pemangku Sultan Johor yang juga pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail mendedahkan Sri Pahang berkemungkinan besar dibubarkan musim depan selepas beberapa masalah membelenggu kelab itu selain KDA FC mungkin tidak akan beraksi dalam saingan Liga Super.
Namun, perkara itu dinafikan KDA FC yang menyatakan bahawa mereka masih mencari cara untuk kekal beraksi musim depan manakala Sri Pahang pula masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram