
KECOH arena bola sepak tanah air apabila saingan Liga Super pada musim depan kemungkinan bertambah 'sendu' apabila sekurang-kurangnya tiga pasukan berisiko hilang dalam radar jika masalah kewangan mereka tidak diselesaikan segera.
Keadaan itu membuatkan kebarangkalian MFL untuk mempertimbangkan untuk menjemput kelab dari Brunei, Indonesia dan Singapura sekiranya terdapat pengurangan pasukan dalam saingan Liga Super musim depan.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd menjelaskan bahawa kelab dari luar negara perlu membuat permohonan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sekiranya mahu menyertai Liga Malaysia.
BACA LAGI: Tak nafi ada kelab Liga Super bermasalah gaji musim ini, MFL pantau dokumen LK sebelum 30 April
BACA LAGI: 'Kami kena check semula', MFL respons dakwaan kelab Lembah Klang palsukan dokumen mohon lesen
“Perkara-perkara tersebut perlu melalui banyak proses untuk bermain di Liga Malaysia. Semestinya permohonan perlu melalui FAM atau AFC dan seterusnya ke FIFA untuk mendapat kelelusan bagi mana-mana kelab negara asing bermain di Liga Malaysia.
“Semestinya kita terbuka tapi kita perlu mengambil kira juga bila liga akan bermula bila dan bila pula liga-liga di negara tersebut berakhir,” katanya ketika ditemui dałam Majlis Buka Puasa bersama MFL di Hotel One World, Petaling Jaya, Selangor pada Selasa.
Dalam pada itu, Mohd Shazli berkata, dengan saingan liga bakal menutup tirainya tidak lama lagi kesemua 13 kelab yang bersaing pada musim ini perlu melengkapkan dokumentasi bagi permohonan Lesen Kebangsaan untuk beraksi pada saingan Liga Super musim hadapan.
Pemangku CEO MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd.
Beliau berkata, enam daripada 13 kelab akan turut memohon lesen AFC iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC, Sabah FC, Penang FC dan Terengganu FC (TFC).
“Kita ada enam kelab yang memohon lesen AFC iaitu JDT, Selangor, Sabah, Penang, Kedah dan juga Terengganu dan kesemua kelab ini hanya akan diketahui status lesen AFC mereka pada akhir bulan Mac ini," jelasnya.
Sementara itu, Mohd Shazli turut mendedahkan bahawa kesemua 13 kelab telah memberikan komitmen bahawa mereka mahu terus kekal dalam saingan Liga Super pada musim hadapan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram