Faktor 'manja' Arif Aiman jadikan Faisal Halim lebih layak raih gelaran MVP ABK 2023


  • Podium
  • Isnin, 25 Mac 2024

Siapakah yang akan bergelar Pemain Paling Bernilai (MVP) bagi musim 2023? Sama-sama tunggu jawapannya 25 Mac nanti.

ANUGERAH Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2023 akan menemui penyokong tanah air dengan ia dijadualkan berlangsung pada 25 Mac 2023 seperti yang dikongsikan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) di laman rasmi Facebook pada Sabtu.

Seperti sedia maklum, ABK23 merupakan satu pengiktirafan gilang-gemilang untuk menghargai hasil kerja individu-individu yang mempamerkan persembahan cemerlang sepanjang musim Liga Malaysia 2023.

Antara kategori yang dipertandingkan dalam ABK 2023 adalah Pemain Terbaik Piala MFL, Kasut Emas – Penjaring Terbanyak Piala MFL, Kasut Emas – Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super, Kasut Emas – Penjaring Terbanyak Liga Super, Anugerah Undian FAN XI, Penjaga Gol Terbaik dan Pertahanan Terbaik.

Selain itu, turut diadakan pemenang kategori Pemain Tengah Terbaik, Pemain Muda Terbaik, Pemain Import Terbaik, Penyerang Terbaik, Jurulatih Terbaik, Pasukan Terbaik, Gol Terbaik Liga Malaysia 2023 dan akhir sekali, Pemain Paling Bernilai (MVP).

Lebih menarik lagi, Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon kali ini akan memilih sendiri pemenang untuk anugerah MVP.

Tumpuan pasti terarah kepada Pemain Paling Bernilai (MVP) yang ketika ini dipegang pemain Johor Darul Takzim (JDT), Arif Aiman Hanapi yang memenangi gelaran terbabit untuk dua tahun berturut-turut.

Bagaimanapun, pesaing terdekat anugerah tersebut adalah penyerang berbisa Selangor FC, Faisal Halim yang pastinya mempunyai ciri-ciri tersebut.

Analisis ringkas Majoriti kali ini akan menyenaraikan tiga sebab Faisal lebih layak jadi MVP berbanding Arif Aiman.

BACA LAGI: Habib Haroon sudah touchdown di Alor Setar? Senarai skuad Kedah hampir lengkap

MVP

Bahang kian terasa apabila penyerang berbisa negara bakal bersaing untuk mendapatkan gelaran MVP. — Facebook/FAM

BACA LAGI: Lupakan duka di Muscat, tonggak Sabah FC tekad balas dendam di SNBJ

1) Jaringan di Liga Malaysia

Jika melihat kepada statistik jaringan gol, Faisal sudah mencetak 12 gol dalam aksi Liga Super.

Selain itu, Faisal atau mesra dengan panggilan Mickey itu mencetak satu gol aksi Piala FA dan membuat sembilan assists dengan lapan aksi Liga Super serta satu saingan Piala Malaysia.

Manakala, Arif sudah mencetak sebanyak 12 dan 11 hantaran bantuan dalam aksi Liga Super. Selain itu, Arif turut mencipta empat jaringan ketika aksi Piala FA dan lima gol berjaya diledak pada perlawanan Piala Malaysia.

Walaupun Arif lebih banyak memberi sumbangan dalam Liga M, namun Mickey menjadi watak penting dalam skuad kebangsaan.

Mereka berkongsi enam jaringan dalam skuad kebangsaan begitupun Mickey memiliki kelebihan apabila diturunkan dalam kesemua 13 perlawanan bersama Harimau Malaya manakala Arif raih lapan penampilan.

Arif Aiman JDT

Arif Aiman memenangi gelaran MVP untuk dua tahun berturut-turut.— Facebook/JDT

2) Sistem sokongan

Jika melihat kepada 'support system' daripada kelab masing-masing, Mickey antara pemain yang wajar diberi perhatian.

Beraksi bersama duo Selangor FC iaitu Ayron del Valle dan Richmond Boakye, Faisal dilihat perlu bekerja lebih keras kerana kedua-dua pemain berkenaan kurang memberi impak di bahagian serangan.

Melihat kepada gandingan dengan rakan sepasukan Faisal, dia berdepan kesukaran merekodkan lebih banyak bantuan jaringan kerana prestasi Boakye yang mengecewakan dengan ia menutup peluangnya meraih lebih banyak assists.

Berbanding Arif yang mendapat sokongan di bahagian serangan daripada duo berbisa JDT iaitu Bergson da Silva dan Fernando Forestieri yang menjadikan mereka trio berbahaya Harimau Selatan.

Mickey

Mickey calon sesuai untuk bergelar Pemain Paling Bernilai (MVP) 2023. — Facebook/Selangorfc

3) Faktor luaran

Beraksi sebagai pemain yang suka akan cabaran dengan berhijrah ke kelab lain, Mickey diumpamakan sebagai individu yang cepat serasi dengan rakan sepasukan di tempat baharu.

Jika melihat kepada statistik perpindahan, Mickey boleh digelar sebagai pemain yang mempunyai kemampuan mengendalikan tekanan dengan membuktikan dirinya boleh menyinar walaupun 'merumput' di tempat berbeza saban tahun.

Sebelum tampil cemerlang bersama Selangor, Mickey pernah beraksi bersama Penang FC, Sri Pahang FC dan Terengganu FC.

Mickey mula menjadi buah mulut ramai apabila menjadi watak penting di sebalik kelayakan Terengganu FC ke pentas Asia.

Kini, pemain muda bertubuh kecil itu sekali lagi berjaya membawa Gergasi Merah ke pentas Asia selepas membantu Selangor naib juara Liga Super 2023.

Berbeza pula dengan Arif Aiman yang dilihat 'manja' bersama JDT kerana tidak perlu berdepan cabaran mahupun tekanan berkelana ke kelab lain berikutan masih kekal di majikan sama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram