
BINTANG Newcastle United, Bruno Guimaraes mengesahkan tidak akan mengulangi gaya rambut perang ketika pasukannya berdepan Liverpool dalam perlawanan akhir Carabao Cup di Stadium Wembley, London, England pada Isnin ini.
Guimaraes dan rakan senegaranya, Joelinton sebelum ini terkenal dengan tradisi mewarnakan rambut untuk acara besar, seperti yang mereka lakukan sewaktu Newcastle mara ke final dua tahun lalu.
Namun, selepas kekalahan 0-2 kepada Manchester United dalam perlawanan tersebut, yang menyaksikan Guimaraes beremosi di penghujung perlawanan. Disebabkan itulah kedua-dua pemain berkenaan memilih untuk tidak melakukannya kali ini.
BACA LAGI: Misi 'double' makin sukar, Liverpool hilang 4 tonggak penting sebelum aksi final Piala EFL
BACA LAGI: Tiada seorang pun 'pundit' ramal Liverpool bakal juara EPL 2024/25
"Tidak, tidak, bukan kali ini! Tidak, tidak, bukan kali ini. Kita lihat nanti, mungkin saya akan lebih bertuah tanpa warna rambut itu," kata Guimaraes dalam satu sidang media bersama Alexander Isak pada Jumaat.
Ketua pasukan skuad dengan jolokan The Magpies itu memahami betapa pentingnya perlawanan ini buat penyokong Newcastle dan mengakui bahawa pasukannya tidak sabar untuk turun ke padang.
"Ini adalah peluang besar buat kami. Semua orang teruja, dan sebagai satu pasukan serta satu bandar, kami telah bekerja keras untuk sampai ke tahap ini," katanya.
Pemain tengah skuad kebangsaan Brazil tersebut juga turut mengakui bahawa pasukannya lebih tenang berbanding penyokong, tetapi tetap sedar akan kepentingan untuk mendapatkan trofi kejohanan itu buat mereka.
Kapten Newcastle United, Bruno Guimaraes. — Agensi
"Bagi kami, ini adalah peluang besar, tetapi bagi penyokong, ini ibarat final Piala Dunia. Kami mahu membawa kebahagiaan kepada bandar Newcastle," tambahnya.
Tonggak tengah berusia 27 tahun itu juga percaya bahawa Newcastle kini berada dalam keadaan yang lebih baik berbanding ketika mereka menentang Manchester United dalam perlawanan final sebelum ini.
"Kami lebih berpengalaman dan lebih yakin sekarang. Beberapa pemain berubah, tetapi asas pasukan masih sama. Saya yakin jika kami beraksi pada tahap terbaik, kami mampu memberikan saingan hebat," jelasnya.
Newcastle akan turun ke Wembley dengan harapan tinggi untuk menamatkan kemarau kejuaraan mereka, sementara Guimaraes berpeluang menjadi wira yang membawa pulang trofi ke St. James' Park. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram